ZAMANI.
ZAMANI.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Zamani Slam, 51, menyifatkan kemunculannya dalam persembahan nyanyian di sebuah acara malam kelmarin, sebagai medan percubaan untuk mengetahui tahap keadaan dirinya. 

Ia berikutan, Zamani menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang yang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan swata di Cheras pada 7 November lalu.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim dihubungi berkata, ternyata ada kesan dialami selepas dia menjayakan persembahan itu yang membuatnya mengambil keputusan untuk terus berehat lagi.

"Keadaan saya sihat, Alhamdulillah progres pun semakin baik, cuma belum pulih sepenuhnya. Tapi,  setakat ini adalah beberapa tawaran menyanyi dah mula dapat. 

"Bagaimanapun, saya tampil menyanyi dalam acara kelmarin sebenarnya sebagai medan percubaan, nak tahu saya dah betul-betul boleh dan bersedia nak menyanyi atau belum?

"Tapi, selepas itu (menyanyi) kesihatan saya kurang baik dan dah cuba dapatkan nasihat daripada doktor. Ada kesan pada badan saya selepas 'show', dan saya ambil keputusan berehat lagi sampai keadaan diri betul-betul pulih," katanya kepada Harian Metro.

Zamani berkata, walaupun keadaannya sudah okey, tapi masih kena berehat lagi. Menurutnya, cuma tak perlu risau kerana dia hanya belum pulih dalaman sebab cepat rasa penat.

"Apapun, perasaan saya ketika menyanyi pada malam kelmarin, memang gembira. Alhamdulillah, saya dah dapat menyanyi dengan berdiri tegak di hadapan penonton. Apatah lagi, maklum balas diterina juga sangat baik.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudah mendoakan kesihatan saya. Jauh di sudut hati, saya sangat menghargai segala jasa baik dan keprihatinan diberikan. Cuma, sekarang saya kena berehat lagi," katanya.

Terdahulu, pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi berkongsi peasaan gsmbiranya melihat perkembangan kesihatan Zamani yang semakin pulih seleps melakukan pembedahan membetulkan tulang belakang bengkok, baru-baru ini.

Menerusi video yang dimuat naik Pak Nil di TikTok, Zamani dilihat berada di pentas membuat persembahan menghiburkan peminat yang hadir dan nyanyiannya ternyata mendapat sambutan hebat peminat dalam acara itu. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 4:32 PM