Zamani
Zamani
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Penyanyi popular, Zamani menjalani pemeriksaan akhir kesihatan di sebuah pusat perubatan di Cheras, di sini, hari ini sebelum menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit scoliosis, esok.

Zamani berkata, dia fokus untuk menjalani pembedahan yang disifatkan bersejarah buatnya itu.

"Saya serahkan kepada Allah. Perasaan takut memang ada sebab saya tak pernah kena bedah sebesar ini.

"Proses pembedahan iaitu masuk ke bilik bedah, bius dan lain-lain ambil masa kira-kira enam jam. Namun, proses pembedahan itu sendiri ambil masa dua jam setengah saja.

"Memang kalau doktor tidak tidurkan saya pun, saya minta ditidurkan," katanya.

Zamani berkata, pembedahan itu membabitkan tunjang dan agak kritikal. Namun, dua tunjang saja yang bermasalah.

"Cuma saya nak kena jaga saraf-saraf saja. Harapnya tiada apa-apa," katanya.

Ditanya berkenaan proses pemulihan, Zamani memaklumkan, kemungkinan dia ditahan di hospital adalah tidak lama.

"Mungkin tiga, empat hari dan selepas itu dibenarkan pulang. Doktor kata kalau nasib baik hari kedua dah boleh bawa kereta," katanya.

Zamani berkata, proses pemulihan mungkin ambil masa dua hingga enam minggu. Bagaimanapun, untuk pulih sepenuhnya dan boleh bekerja semula mungkin ambil masa dalam dua hingga tiga bulan.

Katanya, sepanjang tempoh itu dia perlu menjalani fisioterapi dan ulangan rawatan.

Dalam pada itu, Zamani pasti rindu untuk menyanyi semasa tempoh pemulihannya nanti.

"Ia bergantung juga nanti. Saya pun dah belajar-belajar juga nak menyanyi di media sosial. Misalnya kalau rindu sangat dan peminat pun nak dengar, serta dah boleh sikit-sikit insya-Allah saya akan buat juga. Namun, saya tak janji. Ia bergantung kepada pemulihan saya. Menyanyi adalah minat saya," katanya.

Zamani turut memohon mendoakan pembedahannya berjalan lancar dan dia segera diberi kesembuhan.

"Yang pentingnya terus menyokong saya dan kerjaya saya. Saya pun insya-Allah akan terus bersama anda. Doakan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 4:18 PM