CHENG Hoe menggesa barisan penyerang tempatan menajamkan sentuhan di depan gol. FOTO FAM
CHENG Hoe menggesa barisan penyerang tempatan menajamkan sentuhan di depan gol. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiada apa yang diminta oleh pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selain berharap penyerang tempatan dapat melakukan latihan tambahan bagi menajamkan sentuhan di depan gol.

Ternyata harapan yang disuarakan Cheng Hoe itu boleh dianggap 'semboyan' kebangkitan buat penyerang tempatan yang kini diihat agak tenggelam dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila senarai penjaring terbanyak lebih didominasi ayam tambatan import.

Jelas jurulatih berusia 53 tahun yang berasal dari Kedah itu, beliau sentiasa berfikir secara positif dan percaya penyerang negara akan bangkit lebih ampuh menjelang aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini.

"Kita tahu dari segi penjaring sekarang (senarai penjaring terbanyak Liga M) adalah pemain import. Sebagai jurulatih saya kena fikir positif di mana kita tetap kena menaruh harapan walaupun penyerang tempatan kurang menyerlah di liga.

"Setiap pemain walaupun diturunkan dalam separuh masa kedua sekalipun harap dapat beri persembahan terbaik.

"Mungkin mereka boleh mempertajamkan sentuhan penyudah dalam latihan untuk bersedia bagi latihan aksi persiapan terakhir skuad kebangsaan itu nanti dan sebagai jurulatih itu harapan saya," katanya.

Arena Metro semalam melaporkan, menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 yang berbaki 44 hari lagi, kekuatan jentera serangan skuad Harimau Malaya menjadi kebimbangan berikutan tiada seorang pun penyerang tempatan yang merekodkan lebih daripada lima gol dalam sembilan aksi di Liga Super.

Sebaliknya ia dikuasai ayam tambatan import yang diketuai penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva dengan sembilan gol diikuti pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun (tujuh gol), pemain Kedah Darul Aman FC, Kpah Sherman (enam gol) dan tonggak Penang FC, Casagrande (lima gol).

Bagaimanapun, pemain baharu naturalisasi negara dari Brazil, Guilherme de Paula yang beraksi untuk Perak FC mungkin memberi sedikit kelegaan apabila berjaya meledak empat gol.

Selebihnya penyerang tempatan seperti Shahrel Fikri sekadar meledak satu gol, begitu juga dengan beberapa pemain senior lain termasuk Akhyar Rashid dan Safawi Rasid turut mencetak satu gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 8:36 PM