SYAMIM  (kiri) meraikan gol bersama penyokong  dalam aksi  suku akhir pertama  Piala FA di Stadium Darul Makmur malam tadi.
SYAMIM (kiri) meraikan gol bersama penyokong dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur malam tadi.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pahang membawa bekalan selesa ke Larkin selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas juara bertahan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Bagaimanapun, Johor DT tetap memiliki sedikit kelebihan hasil satu gol di tempat lawan apabila aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin penghujung bulan ini.

Pada awal perlawanan malam tadi, tuan rumah hampir meledak gol pertama pada minit kedua namun larian deras penyerang import dari Brazil Matheus Alves, disusuli rembatan padu yang gagal menemui sasaran.

Anak buah Dollah Salleh terus menguasai tempoh awal permainan dan hasilnya tandukan Ahmad Syamim Yahya yang bijak menyambut hantaran lintang ketua pasukannya, Matthew Davies pada minit ke-14 meletakkan Pahang mendahului 1-0 di depan.

Gol pendahuluan itu nyata menyentap ‘ego’ skuad Harimau Selatan yang kemudiannya memperkemaskan aksi mereka bagi memburu gol penyamaan.

Pengalaman luas beraksi di pentas Piala AFC dan Kelayakan Liga Juara-juara Asia jelas memberi kelebihan buat skuad kendalian Benjamin Mora yang tenang menyusun rentak dan pelawat berjaya meraih gol penyamaan pada minit ke-22.

Jaringan pelawat itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol Pahang Wan Azraie Wan Teh yang gagal menangkap kemas tandukan Mohammad Fadhli Shas sebelum Marcos Antonio mudah menolak masuk untuk kembali mengikat perlawanan.

Bersambung babak kedua, penyokong skuad Tok Gajah tidak menunggu lama untuk meraikan gol kedua apabila Alves pantas menguis masuk minit ke-48 hasil kesilapan benteng pertahanan Johor DT Mohd Azrif Nazrulhaq dan penjaga gol Izham Tarmizi yang teragak-agak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Pemain gantian Pahang, Bright Dike menambah gol ketiga tuan rumah apabila Izham sekali lagi gagal membaca bola sepakan sudut buat meletakkan Pahang selesa mendahului 3-1 dengan keputusan itu kekal hingga tamat aksi penuh perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:11 AM