Surabaya: Ketika pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 terjunam ke dasar Laut Jawa, warga Korea Selatan ini, Seong Beom Park, 37, dipercayai memeluk erat anaknya sebelum terlepas dalam pangkuan.

Memetik laporan portal berita VivaNews, analisis itu dilakukan Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) berdasarkan keadaan tangan Seong Beom yang seolah-olah memeluk erat gendongan bayi (baby carrier) yang masih melekat pada tubuhnya ketika ditemui di tempat duduk penumpang berdekatan ekor pesawat.

Seong Beom dan isteri, Kyung Hwa Lee, 34, bersama anak mereka Park Yu Na, 11 bulan antara tiga daripada 162 mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Selat Karimata, Laut Jawa, 28 Disember lalu.

Pasangan itu berada di Indonesia sejak tiga tahun lalu sebagai mubaligh Kristian.

Kelibat pasangan berkenaan dirakam menerusi kamera litar tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda bersama bayi mereka sebelum menaiki pesawat terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Singapura untuk memperbaharui visa mereka.

Ketua DVI Jawa Timur Dr Budiyono berkata, berdasarkan analisis dilakukan, mayat Seong Beom memeluk erat ‘baby carrier’ dipercayai tempat duduk anaknya ketika penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda menuju Singapura.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 7:01 AM