AZMIN selar tindakan simbah cat.
AZMIN selar tindakan simbah cat.
Oleh Norashikin Leman


Shah Alam: Menteri Besar Mohamed Azmin Ali menyifatkan tindakan individu yang menyimbah cat di pejabat Bola Sepak Selangor (FAS), di Kelana Jaya, kelmarin sebagai kurang bijak.

Kesal dengan insiden itu, Mohamed Azmin yang juga Presiden FAS berkata, pihaknya menyerahkan insiden berkenaan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Simbah cat dan mengugut sesuka hati tidak boleh menyelesaikan sebarang masalah. Sekiranya tidak puas hati dengan FAS, ada saluran yang betul untuk berbincang. Menyimbah cat bukan satu tindakan bijak menyelesaikan sesuatu perkara,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ditanya insiden itu mungkin berlaku disebabkan desakan penyokong yang mahu perubahan dalam kepimpinan FAS, Mohamed Azmin berkata, ia perlu dilaksanakan menggunakan pendekatan betul.

“Ada banyak perkara perlu diteliti secara keseluruhan sebelum rombakan dilakukan tidak kira dari segi latihan dan pengurusan FAS,” katanya.

Kelmarin pintu dan pagar pejabat FAS disimbah cat berwarna merah dan kuning oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Insiden berkenaan disedari staf FAS yang terkejut apabila pintu dan pagar pintu pejabat pentadbiran badan induk bola sepak Selangor itu dipenuhi kedua-dua warna cat itu.

Setiausaha Agung FAS Rosman Mohd Ibrahim sudah membuat laporan polis berhubung insiden di tingkat satu pejabat FAS di Kelana Jaya itu.

Insiden seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah FAS dan semakin meresahkan apabila tersebar luas desakan di laman sosial dan kain rentang menggesa perubahan dilakukan terhadap kepemimpinan FAS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:38 AM