KEADAAN pintu pejabat FAS yang disimbah cat merah dan kuning.
KEADAAN pintu pejabat FAS yang disimbah cat merah dan kuning.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Petaling Jaya: “Disimbah cat berwarna merah dan kuning”.

Itu situasi yang menimpa Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) apabila pintu pejabat persatuan berkenaan disimbah cat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Insiden berkenaan disedari staf FAS pagi semalam yang terkejut apabila pintu dan pagar pintu pejabat pentadbiran badan induk bola sepak Selangor itu dipenuhi kedua-dua warna cat itu.

Setiausaha Agung FAS Rosman Mohd Ibrahim menjelaskan laporan polis dibuat berhubung insiden di tingkat satu pejabat FAS di Kelana Jaya itu.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi dan kami serahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

Jelasnya, insiden seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah FAS.

Perkembangan itu pasti semakin meresahkan selepas tersebar luas desakan di laman sosial dan kain rentang menggesa perubahan dilakukan terhadap kepemimpinan FAS.

Selangor yang pernah dilabel gergasi bola sepak negara mengharungi saat sukar apabila gagal meraih kejuaraan sejak muncul juara Liga Super 2010.

Merah Kuning turut kehilangan penjaring terbanyak Liga Super Paulo Rangel yang bertindak menyertai Terengganu selepas pemain Brazil itu tidak puas hati pembayaran lanjutan kontraknya.

Malah, Selangor yang dikendalikan Mehmet Durakovic masih gagal mencapai sebarang kemenangan dalam tiga aksi persahabatan pra-musim.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim mengesahkan menerima aduan berhubung kejadian berkenaan.

Menurut Azmi, kejadian mungkin berpunca daripada individu atau penyokong pasukan Selangor yang tidak puas hati terhadap pegawai FAS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:04 AM