Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara ‘kenduri besar’ apabila memalukan tuan rumah 16-1 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Hoki Sengkang, Singapura semalam.

Penyerang sensasi negara Faizal Saari mempamerkan aksi cemerlang apabila menyumbang enam gol ketika membantu skuad bimbingan Tai Beng Hai mencatat kemenangan cukup meyakinkan itu.

Skuad negara akan beraksi pada saingan suku akhir bertemu Mexico yang menduduki tangga tercorot Kumpulan B, esok.

Faizal membuka jaringan menerusi pukulan penalti stroke seawal minit keenam sebelum Firhan Ashaari menambah gol kedua m-13.

Skuad negara kemudian meledak enam gol dalam tempoh 13 minit iaitu menerusi Faizal (m-19), Muhammad Razie Abd Rahim (m-24), Firhan Ashaari (m-25) dan Faizal masing-masing pada minit ke-25, 31 dan 31.

Singapura meraih gol pertama hasil jaringan padang Ian Vanderput m-32, tetapi Muhammad Haziq Shamsul terus menambah gol skuad negara m-37.

Marhan Jalil menjaringkan gol m-43 sebelum Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin meledak gol padang seminit kemudian.

Faizal, Razie serta Haziq masing-masing menyumbang tiga gol sebelum Tengku Ahmad Tajuddin meledak dua gol terakhir untuk menyaksikan skuad negara mencatat kemenangan besar 16-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:13 AM