Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Penyerang sensasi skuad hoki negara Faizal Saari mengaku dia perlu berdepan saingan sengit di posisi itu untuk mendapat tempat beraksi di Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 29 April ini.

Jelas bintang Malaysian Tigers itu, semua lapan penyerang termasuk dia sendiri sedang berada pada tahap terbaik masing-masing dan terpulang kepada jurulatih Stephen Van Huizen untuk memilih antara lima atau enam penyerang yang akan dibawa ke Ipoh.

“Sekarang ini kami ada lapan penyerang dan daripada jumlah itu, mungkin dua akan digugurkan.

“Jika saya terpilih itu adalah rezeki. Sebab semua penyerang yang kita ada sekarang ini sangat bagus.

“Boleh dikatakan tahap prestasi semua penyerang adalah sama,” katanya.

Secara peribadi, Faizal berkata, dia terkejut dengan prestasi mendadak penyerang muda negara Nik Muhammad Nik Rozemi terutama ketika membantu pasukan muncul juara di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu.

“Dia mempunyai kemahiran yang tinggi dan cukup cergas di atas padang.

“Saya sendiri tak sangka dia begitu bagus walaupun berstatus pemain baru. Ini adalah satu perkembangan yang baik dan kalau boleh kita lahirkan lebih ramai pemain sepertinya,” katanya.

Stephen menerusi Arena Metro semalam berkata, Faizal serta dua lagi penyerang senior negara Firhan Saari dan Mohd Haziq Samsul tidak akan mendapat keistimewaan untuk terpilih semula ke dalam pasukan bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah.

Faizal serta Haziq tidak beraksi di pusingan kedua kerana kecederaan hamstring sementara Firhan melangsungkan perkahwinan.

Selain mereka, lima lagi pemain yang beraksi cemerlang di pusingan kedua ialah Nik Muhammad Aiman, Tengku Ahmad Tajuddin, Sahril Saabah, Rashid Baharom serta Ramadan Rosli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 10:34 AM