STEPHEN (kanan) memberi arahan kepada pemain.
STEPHEN (kanan) memberi arahan kepada pemain.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Tiada jalan mudah buat tiga penyerang utama skuad hoki negara - Faizal Saari , Firhan Ashaari serta Haziq Samsul - untuk terus mendapat tempat dalam pasukan bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah bermula 29 April ini.

Sebaliknya, ketua jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen berkata, ketiga-tiga pemain itu yang tidak beraksi di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka awal bulan lalu perlu membuktikan mereka mempunyai prestasi lebih baik berbanding barisan penyerang dibawa ketika di Dhaka.

“Saya akui memang agak pening kepala memilih antara lima atau enam penyerang untuk dibawa beraksi di Piala Sultan Azlan Shah.

“Walaupun ketiga-tiga penyerang ini kerap menjadi pilihan untuk diturunkan sejak dua tahun lalu, mereka juga perlu bekerja keras untuk mendapat tempat kali ini.

“Hanya kerana berstatus senior, tidak bermakna ketiga-tiga mereka akan mendapat tempat automatik dalam pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan membabitkan pasukan utama serta skuad pembangunan semalam.

Jelas Stephen, barisan penyerang yang beraksi di Dhaka iaitu bintang muda Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Tengku Ahmad Tajuddin Abd Jalil, Shahril Saabah, Rashid Baharom dan Ramadan Rosli sudah membuktikan mereka tidak boleh diketepikan begitu saja selepas membantu Malaysian Tigers muncul juara.

“Paling saya kagum Nik Aiman apabila dia beraksi dengan sangat baik di Dhaka apabila menjaringkan lima gol.

“Mungkin ada yang menyatakan ia hanya kejohanan biasa, tapi bagi saya, menjaringkan gol yang banyak di pentas antarabangsa adalah satu pencapaian menarik.

“Jadi barisan pemain senior yang saya katakan tadi perlu membuktikan mereka lebih baik berbanding Nik Aiman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 8:46 AM