Oleh Anis Nabilla Md Wazilah


Georgetown: Pulau Pinang optimis menempa nama pada saingan Liga Perdana bermula bulan depan, berdasarkan rekod tanpa kalah pada tujuh perlawanan persahabatan sebelum ini.

Biarpun kesebelasan utama belum ditentukan, skuad Harimau Kumbang yang mendapat sentuhan bekas pengendali pasukan kebangsaan Indonesia, Jacksen Ferreira Tiago semakin menunjukkan keserasian.

Tiago berkata, tahap persefahaman antara pemain adalah fokus utamanya selain corak permainan yang semakin meningkat ditunjukkan dalam setiap perlawanan persahabatan.

“Menang atau kalah perkara kedua kerana yang lebih membanggakan saya adalah semangat juang tinggi ditunjukkan kesemua pemain.

“Fokus saya hanya untuk melihat bagaimana mereka bermain dan selepas beberapa perlawanan pemain mula menunjukkan keserasian.

“Saya puas hati dengan corak permainan mereka namun mereka tidak harus leka dengan kemenangan itu kerana beberapa kelemahan dari menyerang dan bertahan harus diperkemaskan lagi,” katanya ketika ditemui selepas pertembungan dengan Selangor, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:23 AM