AKINADE (tengah) meledak hatrik ketika TFC menang 6-1 ke atas PDRM pada perlawanan persahabatan di Stadium Selayang, malam tadi. FOTO TFC
AKINADE (tengah) meledak hatrik ketika TFC menang 6-1 ke atas PDRM pada perlawanan persahabatan di Stadium Selayang, malam tadi. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Keserasian semakin terserlah menyaksikan skuad Terengganu FC (TFC) membelasah PDRM FC, 6-1 pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Perkara itu diakui ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner yang menyifatkan anak buahnya semakin menemui rentak permainan selepas lebih sebulan menjalani latihan.

"Sudah tentu saya gembira dengan persembahan pemain ketika menewaskan PDRM malam tadi, lebih manis banyak jaringan terhasil.

"Corak permainan mereka lebih baik berbanding ketika tewas 1-2 kepada Selangor II pada aksi persahabatan pertama apabila mereka kelihatan lebih tersusun dan menampakkan keserasian.

"Situasi ini bagus buat pemain bagi meningkatkan lagi keyakinan dan motivasi mereka ketika ini dan pada perlawanan seterusnya terutama ramai muka baharu berada dalam pasukan ketika ini," katanya yang lebih mesra dipanggil Tommy.

Bagaimanapun, dia mengakui beberapa aspek perlu ditambah baik terutama ada ketikanya pemain mudah kehilangan bola menyebabkan gerakan diatur tidak menjadi.

Pada perlawanan malam tadi, penyerang baharu TFC, Ismaheel Akinade membuktikan ketajamannya selepas meledak hatrik manakala tiga gol lagi dihasilkan Nurillo Tukhtasinov, Manuel Ott dan Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob manakala gol saguhati PDRM dihasilkan Faith Obilor.

TFC akan berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok, bagi perlawanan persahabatan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 4:22 PM