PEMAIN FELDA bersalaman selepas latihan.
PEMAIN FELDA bersalaman selepas latihan.

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih kelab bola sepak FELDA United Irfan Bakti mengakui jentera tengah dan serangan masih perlu diperbaiki menjelang sepak mula Liga Super pada 7 Februari.

Pengendali berusia 63 tahun itu berkata, pemain di bahagian berkenaan perlu bekerja keras kerana mereka tidak mempamerkan corak permainan sebenar dalam beberapa perlawanan persahabatan pramusim.

“Kita masih ada dua minggu lagi dan saya akan cuba perbaiki kelemahan,” katanya selepas perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, FELDA United menang 1-0 hasil jaringan pemain gantian Mohd Hadin Azman pada minit ke-76.

Irfan turut puas hati dengan keputusan diraih dalam beberapa aksi persahabatan yang menyaksikan mereka hanya kalah dua kali, menentang kelab Liga Perdana, PKNS FC dan kelab Liga Super Indonesia, Persib Bandung.

Beliau turut menyifatkan Pulau Pinang kendalian jurulatih dari Brazil, Jackson Ferreira Tiago mempunyai potensi cerah layak beraksi pada saingan Liga Super musim depan.

Sementara itu Tiago puas hati dengan persembahan skuad Harimau Kumbang biarpun gagal mengekalkan rekod kemenangan selepas 12 aksi persahabatan.

“Pemain menunjukkan sikap baik apabila tidak berputus asa mencari gol. Saya bangga mereka mencipta beberapa peluang menjaringkan gol, tapi FELDA United bermain lebih baik,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:21 AM