SKUAD Harimau Kumbang juga perlu mengharungi cabaran getir berdepan Tok Gajah pada suku akhir Piala FA, pada 7 Julai.
SKUAD Harimau Kumbang juga perlu mengharungi cabaran getir berdepan Tok Gajah pada suku akhir Piala FA, pada 7 Julai.
Oleh Anis Nabilla Md Wazilah


Georgetown: “Kami mahu kekalkan rekod tanpa kalah.”

Itu reaksi kapten pasukan Pulau Pinang Mohd Redzuan Nawi menjelang aksi Liga Perdana menentang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) II di Stadium Bandaraya, malam ini.

Selepas berehat panjang, skuad Harimau Kumbang dilihat mempunyai kelebihan beraksi cemerlang apabila semua pemain kembali segar dan bebas kecederaan, apatah lagi perlawanan berlangsung di tempat sendiri.

Redzuan atau lebih dikenali Wan Nawi berkata, fokus utama pasukannya untuk mencipta kemenangan bagi memintas Sabah di tangga teratas liga.

Dia berkata, Johor DT II mampu memberi saingan sengit, namun ia tidak akan mematahkan semangat skuad kendalian Jacksen Ferreira Tiago memburu mata penuh.

“Selepas berehat hampir dua minggu, kini kami lebih bersemangat. Kami akan berusaha keras mengekalkan rekod tanpa kalah,” katanya.

Selepas lima perlawanan, Pulau Pinang kekal tanpa kalah apabila mencatatkan tiga kemenangan ke atas Kuantan FA, Selangor PKNS FC dan Kuala Lumpur serta seri dengan T-Team dan Kedah.

Lebih penting lagi, mereka menamatkan penantian 10 tahun apabila bakal berdepan Pahang di suku akhir Piala FA di tempat lawan pada 7 April.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 9:35 AM