KIM Swee cari cabaran baru demi karier.
KIM Swee cari cabaran baru demi karier.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: D atuk Ong Kim Swee hampir pasti melepaskan tugas sebagai jurulatih Harimau Muda A dengan Sabah dikatakan menjadi destinasi terbarunya apabila pasukan Liga Perdana itu bersedia menebus kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bernilai hampir RM500,000.

Menurut sumber rapat dengan pengendali itu, keputusan rasmi belum dibuat kerana masih di peringkat perbincangan, namun difahamkan Kim Swee bersedia menerima tawaran itu demi kariernya.

“Saya dimaklumkan Kim Swee akan berbincang dengan pihak tertinggi FAM dalam masa terdekat untuk menentukan kedudukannya sebagai jurulatih Harimau Muda A. Mungkin paling lewat minggu depan keputusan akan diketahui.

“Saya percaya keputusan Kim Swee itu bukan atas dasar tawaran gaji lebih besar, tapi beliau mahukan cabaran baru kerana masa depannya di FAM tidak menentu. Saya cukup mengenali dirinya, beliau boleh duduk senang makan gaji di FAM, tapi bukan itu yang dicari. Beliau mahu melatih pasukan dan mahukan cabaran baru,” katanya ketika ditemui Arena Metro semalam.

Keputusan Kim Swee, 44, yang sudah bersama FAM selama 10 tahun untuk berpindah bukan sesuatu mengejutkan berikutan tindakan badan induk itu membuat keputusan drastik dengan menyerahkan tugas membimbing skuad bawah 22 tahun (B-22) negara ke kelayakan AFC B-23 Mac ini kepada jurulatih Harimau Muda B Razip Ismail.

Kim Swee pula diarahkan menjalankan tugas sebagai pencari bakat, mencari pemain untuk diserapkan ke dalam skuad Sukan SEA di Singapura pada Jun yang hanya akan bersamanya kurang sebulan sebelum temasya itu bermula.

Sumber itu berkata, Kim Swee yang pernah menyarung jersi Sabah pada 1994-1998 menghormati kontraknya bersama FAM yang bakal berakhir Disember ini, kerana itu beliau tidak mahu membuat sebarang keputusan membelakangkan badan induk itu.

“Saya fikir tidak ada masalah untuk Sabah menebus kontrak itu jika FAM benar-benar mahu melepaskan Kim Swee. Mungkin ramai yang mempersoal keputusannya untuk menyertai Sabah, tapi mungkin Kim Swee ada alasan kuat.

“Mungkin kerana visi pasukan itu yang kini dalam usaha membentuk kembali pasukan Sabah, tapi yang pasti beliau perlukan cabaran baru demi kariernya. Jika masih terus di FAM, beliau seperti tidak akan ke mana,” jelasnya.

Kim Swee sudah membuktikan sentuhannya bersama Harimau Muda A apabila memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011, Pestabola Merdeka 2013, Liga Perdana 2009 serta berjaya menggilap ramai pemain muda seperti Mohd Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor, Wan Zaharulnizam Zakaria, Mohd Nazmi Faiz Mansor, Irfan Fazail dan Gary Steven Robbat.

Pengendali dari Melaka itu juga pernah menjadi jurulatih sementara Harimau Malaya pada awal 2014 dan prestasinya tidak mengecewakan apabila membantu kemenangan 2-1 ke atas Yaman dalam perlawanan terakhir Piala Asia serta seri dua kali dengan pasukan di ranking paling tinggi Asia Tenggara, Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 7:03 AM