Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee tidak mahu semua pihak terburu-buru membubarkan skuad muda itu tanpa membuat sebarang perancangan.

Ini kerana pasukan bawah 23 tahun itu dianggap masih lagi relevan diwujudkan untuk mewakili negara pada temasya Sukan SEA serta digilap menjadi pelapis skuad senior kebangsaan.

“Kalau hantar skuad bawah 21 tahun ke Sukan SEA sebenarnya tak salah, mungkin itu bagus untuk pendedahan. Tapi sesiapa yang membimbing pasukan itu tidak wajar diberikan KPI (Penunjuk Indeks Prestasi) yang tak masuk akal.

“Jika turunkan pemain lebih muda di Sukan SEA bagi tujuan pendedahan adakah anda meletakkan sasaran untuk juara? Adakah semua boleh terima kekalahan mereka walaupun kejohanan ini hanya peringkat umur bertaraf Asia Tenggara?

“Apa yang perlu dilakukan semua pihak tidak kira FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan juga MSN (Majlis Sukan Negara) yang turut membantu dalam program Harimau Muda duduk semeja untuk membincangkan hala tuju pasukan muda ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan, Harimau Muda sudah tidak lagi relevan dengan perkembangan bola sepak negara ketika ini manakala Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pula membayangkan pasukan itu akan berkubur apabila tugas negara pada Sukan SEA mungkin diserahkan kepada pemain B-21.

Kim Swee yang membimbing Harimau Muda A sejak 2009 dan membantu pasukan itu memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011 dan Pestabola Merdeka 2013 berkata, semua pihak perlu menilai semula tujuan penubuhan pasukan itu jika mahu melahirkan pemain lebih matang sebelum dilepaskan beraksi bersama pasukan lain.

“Bila pemain menyertai Harimau Muda A, mereka perlu berikan komitmen penuh kepada program pasukan dan saya tidak lihat mereka boleh dilepaskan dalam tempoh tertentu. Tujuan utama pasukan ini ditubuhkan adalah berlatih dan mendapatkan pendedahan dalam satu pasukan bagi tempoh yang panjang.

“Jika pemain berada bersama kelab dan negeri, adakah mereka berpeluang selalu beraksi dalam perlawanan kompetitif ketika usia bawah 23 tahun? Kita lihat saja apa yang akan berlaku pada musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:33 AM