JOHOR DT dibarisi pemain terbaik negara ketika ini.
JOHOR DT dibarisi pemain terbaik negara ketika ini.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: “Johor Darul Ta’zim (Johor DT) berada dalam kelas tersendiri”.

Itu pandangan pengendali Selangor Mehmet Durakovic berhubung cabaran Liga Malaysia (Liga-M) 2015 yang bakal bermula bulan depan.

Menurutnya juara Liga Super 2014, Johor DT kendalian Bojan Hodak sudah mengatasi pencabar lain kerana Harimau Selatan memiliki segala-galanya.

“Bukan mudah untuk mengatasi Johor DT kerana mereka miliki pemain terbaik di Malaysia ketika ini. Mereka memiliki kelebihan dalam segala aspek, termasuk kemudahan.

“Saya gembira kerana ini sesuatu yang baik untuk bola sepak Malaysia. Sekiranya mahu tahap bola sepak tempatan meningkat, usaha dilakukan Johor DT ketika ini perlu dicontohi. Kalau boleh saya mahukan pemain Selangor mendapat kemudahan seperti dinikmati Johor DT,” kata pengendali dari Australia itu.

Johor DT mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu selain membawa masuk beberapa muka baru seperti Junior Eldstal, S Chanturu, S Kunanlan dan Mohd Farizal Marlias.

Johor DT dan Selangor bersaing sengit dalam saingan Liga Super musim lalu dengan kejuaraan terpaksa ditentukan pada perlawanan terakhir liga.

“Musim lalu kami berjaya melakukannya dengan baik apabila bergelar naib juara walaupun kehilangan 80 hingga 85 peratus pemain utama sebelum itu. Namun kali ini dengan Johor DT berada pada kelas tersendiri selain Pahang, Terengganu dan FELDA United, musim ini pasti sukar. Namun saya masih sebahagian daripada Selangor dan akan cuba yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya.

Kancah Liga-M musim ini akan membuka tirai pada 31 Januari ini dengan Johor DT menentang juara Piala FA dan Piala Malaysia, Pahang bagi merebut Piala Sumbangsih disusuli perlawanan lain membabitkan pasukan Liga Perdana dan Super pada Jumaat dan Sabtu minggu berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 7:01 AM