HARISS mahu rakan lupa kekalahan lalu.
HARISS mahu rakan lupa kekalahan lalu.
Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Hariss Harun yakin rakan sepasukannya akan bangkit memburu tiga mata pada perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Prestasi tidak konsisten pasukan Harimau Selatan dianggap pemain tengah Singapura itu sebagai penyuntik semangat menentang Selangor.

“Saya harap rakan sepasukan segera melupakan dua kekalahan berturut-turut di tempat lawan.

“Bagi saya, empat perlawanan dengan dua kemenangan pertama dan dua kekalahan selepas itu dalam tempoh dua minggu lalu menjadikan kami lebih bersemangat,” katanya.

Johor DT, juara bertahan Liga Super membuka langkah kanan musim ini mengatasi juara Piala Malaysia Pahang 2-0 pada perlawanan Piala Sumbangsih.

Hariss menjaringkan gol pertama skuad kendalian Bojan Hodak itu ketika mencatat kemenangan 2-1 pada kelayakan Liga Juara Juara Asia (AFC) 2015, mengatasi juara Liga India, Bengaluru FC.

Bagaimanapun kekalahan kepada Bangkok Glass FC 3-0 di tempat lawan menyebabkan Harimau Selatan tersingkir sekali gus gagal menempatkan diri dalam slot undian kumpulan AFC.

Kekalahan itu kemudian menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat lawan pada aksi kedua Liga Super.

Ditanya rungutan padang yang kurang baik oleh Hodak, Hariss berkata: “Padang? Apa saja permukaan kami akan bermain kerana itu yang perlu kami hadapi.”

Johor DT kini menghuni tangga kelima Liga Super dengan tiga mata hasil satu menang dan satu kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:43 AM