Abd Razak (tengah) bersama pegawainya menunjukkan daun dan air ketum yang dirampas. FOTO Shahrizal Md Noor
Abd Razak (tengah) bersama pegawainya menunjukkan daun dan air ketum yang dirampas. FOTO Shahrizal Md Noor
Oleh Ahmad Saufi Mansor

Jitra: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand dalam dua serbuan berasingan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan daun ketum ke negara jiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Superintenden Abd Razak Md Zin berkata, dua lelaki termasuk warga Thailand berusia 49 dan 22 tahun ditahan berdasarkan risikan kira-kira 6 petang Rabu lalu di Tunjang, di sini.

Katanya, ketika serbuan, mereka sedang memuatkan 651 bungkusan kecil daun ketum ke dalam sebuah kereta dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Dalam serbuan kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dan merampas 146 bungkusan daun ketum di sebuah rumah, di sini, 4.40 petang Khamis lalu.

"Semua daun ketum dengan berat 89 kilogram dianggarkan bernilai RM2,670 cuba diseludup ke negara jiran kerana mendapat banyak permintaan," katanya pada sidang media pagi ini.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 2:55 PM