Aizat Sharif

Padang Besar: Kualiti daun ketum yang bermutu tinggi di negara ini menyebabkan sindiket penyeludupan ketum Thailand beralih semula ke negara ini untuk mendapatkan bekalan berkenaan.

Ia selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya merampas sebanyak 676 kilogram (kg) daun ketum dalam dua kejadian berasingan di Kaki Bukit di sini, minggu lalu.

Pengarah JKDM Perlis Ismail Hashim berkata, rampasan dilakukan pihaknya pada 3 dan 4 Januari lalu di sebuah rumah tidak bernombor dan sebuah pondok kosong yang dipercayai dijadikan transit sebelum diseludup ke negara jiran menerusi 'laluan tikus' yang ada sekitar sempadan Malaysia-Thailand di sini.

"Dalam serbuan pertama pada 3 Januari lalu sekitar 1 tengah hari, kita melakukan pemeriksaan di parkir sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Kampung Melayu Pak Daud, Kampung Batu 15, Kaki Bukit.

"Hasil pemeriksaan berkenaan menjumpai 23 guni mengandungi daun hijau disyaki daun ketum yang dianggarkan seberat 476 kg bernilai RM4,760," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pejabat JKDM Padang Besar di sini, hari ini.

Katanya, serbuan itu kemudiannya membawa kepada satu lagi rampasan daun ketum di sebuah pondok kosong di Jalan Kampung Wang Kelian pada 9.30 pagi keesokan harinya.

"Dalam serbuan kedua ini, kita menemui 10 plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum yang dianggarkan seberat 200 kg bernilai RM2,000.

"Kita percaya dalam kedua-dua kes ini, anggota sindiket dipercayai menggunakan kedua-dua premis itu sebagai lokasi transit yang terbiar untuk menyeludup daun ketum ke negara jiran.

"Kedua-dua kes ini juga dipercayai dilakukan oleh sindiket yang sama namun tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan itu," katanya.

ISMAIL (tengah) bersama anggota dan penguatkuasa JKDM Perlis menunjukkan daun ketum yang kembali cuba diseludup ke negara Thailand di Padang Besar. FOTO Aizat Sharif
ISMAIL (tengah) bersama anggota dan penguatkuasa JKDM Perlis menunjukkan daun ketum yang kembali cuba diseludup ke negara Thailand di Padang Besar. FOTO Aizat Sharif

Ismail berkata, meskipun kesuraman serta kejatuhan harga daun ketum di negara ini, ia tetap terus mendapat permintaan di negara jiran.

"Daun ketum di negara ini juga dijadikan alternatif oleh sindiket penyeludupan dalam mengisi kelompongan permintaan daun ketum di negara jiran.

"Kita percaya, kelompongan ini adalah disebabkan daun ketum di Thailand masih belum matang disebabkan mengalami proses penanaman semula di negara itu," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pasaran semasa, sememangnya berlaku kejatuhan harga ketum di negara ini.

"Jika dahulu harganya adalah antara RM70 hingga melebihi RM100 bagi sekilogram namun apabila langkah kerajaan Thailand membenarkan penanaman ketum di negara itu, maka harga pasaran ketum di Malaysia kini jatuh sehingga RM10 bagi sekilogram.

"Walaupun begitu, ia tetap mendapat permintaan dari negara jiran pada waktu tertentu dan kita terus menguatkuasakan langkah dalam membendung aktiviti penyeludupan ini dari terus berlaku," katanya.

Menurutnya, nilai rampasan daun ketum bagi kedua-dua kes berkenaan adalah kira-kira RM6,760 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, sepanjang minggu pertama Januari tahun ini, JKDM Perlis berjaya merekodkan nilai rampasan sebanyak RM330,211.09.

"Ia termasuk rampasan membabitkan minuman keras bernilai RM71,160 serta dadah jenis ganja dan pil Erimin 5 bernilai RM726.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 3:38 PM