MOHD Asri (kiri) menunjukkan daun ketum dan kosmetik yang dirampas. FOTO Zaman Huri Isa
MOHD Asri (kiri) menunjukkan daun ketum dan kosmetik yang dirampas. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem) menahan dua lelaki dan merampas 100 kilogram (Kg) daun ketum dan 27 guni kosmetik bernilai RM160,000 dalam dua serbuan berasingan di Pasir Pekan, Tumpat dan Bukit Bunga, Tanah Merah.

Komander Aksem Negeri, Mohd Asri Yahya berkata, dalam serbuan di Pasir Pekan 8.45 malam Khamis lalu pihaknya merampas pelbagai kosmetik buatan negara jiran (Thailand) dan tiga kenderaan.

Katanya, serbuan di Bukit Bunga 6 pagi tadi, pihaknya menahan dua lelaki berusia 23 dan 26 tahun serta merampas 100 kg daun ketum.

"Dua lelaki itu menaiki kereta dipercayai baru sebulan bergiat aktif membekalkan daun ketum yang dijual kepada negara jiran.

"Serbuan kosmetik, sebelum itu kita membuat intipan dan mendapati empat lelaki sedang memunggah beberapa guni dari dua kereta untuk dimasukkan ke dalam van.

"Ketika serbuan, empat lelaki itu melarikan diri meninggalkan kenderaan mereka," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 6:14 PM