Beijing: Seorang nenek dan cucunya berusia setahun terpaksa diselamatkan polis selepas dikunci dan ditinggalkan di dalam kereta oleh anak perempuannya berikutan satu perkelahian.

Dalam kejadian 30 April lalu, polis terpaksa menggunakan tukul untuk memecahkan tingkap kereta Audi Qy itu bagi menyelamatkan wanita dan bayi lelaki itu, lapor akhbar Huanqiu.

Anak perempuannya dilaporkan meninggalkan mereka di situ selepas mereka bertengkar ketika memandu ke Ji’an dari Nanchang.

Keadaan lebih bahaya disebabkan cuaca panas dengan suhu 30 celsius.

Media melaporkan, nenek berkenaan menghubungi anak perempuannya tetapi gagal menyebabkannya terpaksa menelefon polis untuk mendapatkan bantuan.

Polis juga cuba menelefon wanita terbabit yang juga ibu kepada bayi berkenaan, tetapi dia memutuskan perbualan.

Menurut polis, kedua-dua dua mangsa lencun akibat peluh malah bayi berkenaan terlalu lemah dan tidak mampu bersuara.

Wanita itu akhirnya kembali ke keretanya dan memohon maaf selain mengucapkan terima kasih kepada polis.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan pembaca Huanqiu.

Seorang pembaca berkata: “Wanita itu tidak berakal. Mujur mereka sempat diselamatkan, jika tidak pasti dia akan menyesal sepanjang hayat.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 9:59 AM