153 tong gas LPG dan dua buah lori serta peralatan pemindahan gas bersubsidi  di kawasan perindustrian Petaling Jaya dirampas.
153 tong gas LPG dan dua buah lori serta peralatan pemindahan gas bersubsidi di kawasan perindustrian Petaling Jaya dirampas.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Norizuan Shamsuddin

Petaling Jaya: Kehilangan silinder tong gas cecair Petroleum (LPG) dikesan didalangi sindiket yang aktif membeli tong LPG subsidi itu daripada peniaga runcit.

Mereka dikesan melakukan aktiviti memindahkan gas dari silinder tong LPG bersubsidi ke tong LPG industri bagi mengaut keuntungan mudah.

Perkara itu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hasil tindakan dan operasi dilakukan sejak minggu lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakob berkata, aktiviti melarikan tong gas LPG subsidi itu dikesan antara punca pengguna sukar mendapatkan bekalan tong gas memasak berkenaan.

Katanya, tong gas LPG seberat 10 kilogram (kg), 12kg dan 14kg diberikan subsidi berikutan ia khusus kegunaan di rumah, manakala tong LPG besar bersaiz 50kg tidak diberikan subsidi berikutan ia kegunaan industri.

“Kami mendapati terdapat sindiket membeli tong gas LPG 10kg, 12kg dan 14kg daripada pengedar berlesen untuk dipindahkan ke tong LPG 50kg.

“Sindiket berkenaan dikesan menjualkan tong LPG 50kg diisi terbabit kepada pengusaha dan pihak industri mengikut harga pasaran biasa tanpa subsidi untuk mendapat keuntungan.

“Kesannya pengguna sukar mendapatkan bekalan gas memasak berkenaan kerana diseleweng sindiket berkenaan dalam jumlah besar,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Rosik berkata, terbaru KPDNKK menyita 153 tong LPG bersama peralatan digunakan untuk melakukan pemindahan gas dan menahan empat individu di premis di kawasan Perindustrian Petaling Jaya, di sini, Khamis lalu.

Katanya, KPDNKK melakukan pemantauan dan risikan berterusan bagi mengesan peniaga dan pembekal menyelewengkan bekalan barang kawalan bersubsidi terutamanya membabitkan gas LPG.

“Individu atau kumpulan yang dikesan melakukan aktiviti berkenaan tidak terlepas daripada dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan. Tindakan undang-undang juga dikenakan terhadap peniaga dikesan enggan menjual tong gas kepada pengguna mengikut Seksyen 16A akta sama.

“Sekiranya orang ramai ada maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan, mereka bolehlah tampil membuat aduan di cawangan KPDNKK terdekat atau melalui talian bebas tol 1 800 886 800 dan menerusi laman web kami di http://e-aduan.kpdnkk.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 9:10 AM