HAIZA bersama penyampai Hot FM dan Kool FM.
HAIZA bersama penyampai Hot FM dan Kool FM.
Michelle Gun

Lebih 3,000 pengunjung membanjiri Setia City Park di Setia Alam untuk menyaksikan persembahan 15 artis hebat tanah air dalam konsert Hot Kool Jam, malam kelmarin.

Konsert yang bermula pada jam 8.45 malam itu adalah anjuran bersama dua stesen radio milik Media Prima Berhad, Hot FM dan Kool FM. Acara yang bertujuan memperkenalkan barisan penyampai baru kedua-dua stesen itu membuka tirai dengan persembahan penuh bertenaga daripada Stacy.

Sambil diiringi penari, penyanyi berasal dari Sabah itu menyampaikan dua lagu iaitu Romeo diikuti Jahat. Hot Kool Jam turut berbesar hati apabila kumpulan legenda tanah air, KRU sudi membuat penampilan sekali gus menghangatkan lagi acara.

Kumpulan dianggotai tiga beradik - Yusry, Norman dan Edry itu menghiburkan penonton dengan lagu hit mereka Oh La La dan Hingga Ke Jannah. Konsert terus meriah dengan kemunculan tiga artis, Sandra, Kaka Azraff dan Sissy Iman dalam medley Hey Kau, Bukan Hal Aku serta Entah Apa Rasa.

Seterusnya, mereka berduet lagu popular Wajah Rahsia Hati, nyanyian asal Fauziah Ahmad Daud. Turut bergabung di pentas adalah Haiza, Nora dan Siti Nordiana. Ketiga-tiga penyanyi hebat itu mempersembahkan medley Dag Dig Dug, Di Persimpangan Dilema dan diikuti dengan Cinta Hanya Sandaran.

Bagi persembahan seterusnya, trio itu memilih lagu hit Faizal Tahir, Assalamualaikum sebagai duet. Persembahan artis diselang-selikan dengan barisan penyampai beramah mesra bersama penonton dan memberi cenderahati.

Persembahan kelima menampilkan Black berduet dengan Fransisca Peters dalam lagu Kehebatan Cinta.

Kemunculan Datuk M Nasir antara artis yang dinanti-nantikan peminat pada konsert berkenaan. Disambut dengan sorakan dan jeritan peminat, M Nasir mendendangkan dua lagu iaitu Mentera Semerah Padi sebelum mengakhiri persembahannya dengan Hati Emas.

Ketika itu, pekarangan Setia City Park sudah sesak dengan pengunjung yang turut tidak sabar menanti persembahan gabungan penyanyi Mus May dan kumpulan Akim & The Majistret. Mus May memulakan persembahannya dengan lagu berjudul Sendiri dan diteruskan dengan duet bersama Akim & The Majistret menerusi ‘mashup’ Mewangi dan Cintamu Mekar Di Hati.

Selepas hampir tiga jam berlangsung, konsert melabuhkan tirai dengan persembahan terakhir daripada Bunkface dan Amy Search. Bunkface menyampaikan lagu Malam Ini Kita Punya sebelum bergabung dengan Amy untuk berduet Rentak Lagu Ku.

Seterusnya, Bunkface menyerahkan pentas kepada Amy yang mendendangkan lagu Isabella dan diakhiri dengan Fantasia Bulan Madu. Selesai persembahan itu, Akim & The Majistret terus menghiburkan penonton dengan lagu popular mereka, Potret dan Obses.

Acara diserikan lagi dengan penyampai Hot FM dan Kool FM antaranya AG, Haiza, Liza, Ikhwan, Farid, Ezaq, Ajak, Rea serta Issey sebagai pengacara.

Terdahulu, sesi pertama persembahan pada sebelah petang dimeriahkan sembilan penyanyi iaitu kumpulan Monalyssa, Fareez Mentor Milenia, Azhael, Amy Mastura, Ippo Hafiz, Awi Rafael, Ayai, Ronnie Hussin dan Rahmat Mega.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 12:09 PM