Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpu: Tiada sebarang pelantikan jurulatih baru walaupun empat jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) meletak jawatan.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh berkata, pelantikan baru hanya akan dibuat sehingga Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen tiba awal Mac depan.

Empat jurulatih yang meletak jawatan membabitkan Zhou Kejian dari China, Chong Kien Ling, Poh Chai Boon dan Chin Tze Seong.

“Kami berasa sedih dengan tindakan jurulatih berkenaan kerana ada di antara mereka sudah bersama BAM hampir 10 tahun,” katanya.

Jelasnya, BAM mengambil keputusan tidak akan mencari pengganti namun akan menggunakan khidmat jurulatih sedia ada.

Keempat-empat jurulatih berkenaan dikatakan ditawarkan gaji lebih berbaloi oleh pasukan lain selepas kurang gembira dengan tawaran baru BAM selepas kontrak lama tamat 31 Disember lalu.

Isnin lalu BAM mengadakan mesyuarat dengan melakukan penstrukturan semula bidang tugas jurulatih dengan mengarahkan He Guo Quan dari China mengetuai bahagian perseorangan manakala Jeremy Gan mengemudi skuad beregu.

Bagaimanapun, sehari selepas itu Guo Quan menolak tawaran berkenaan dan besar kemungkinan tugas barunya selepas ini ialah menjadi jurulatih SSBJ bersama pembantunya, Zhou Yang.

Kedua-dua jurulatih berkenaan dipancing BAM Oktober lalu untuk membantu jurulatih tempatan.

Guo Quan sebelum ini pernah melatih Lin Dan ketika pemain legenda itu masih remaja dan niat beliau menolak tawaran BAM bagi mengetuai barisan perseorangan disebabkan tahapnya dirasakan belum sesuai untuk melatih pemain elit.

Pemain perseorangan sekarang ini sedang mempersiapkan diri untuk saingan Grand Prix Emas Masters Malaysia yang akan berlangsung di Kuching dari 13 hingga 18 Januari namun mereka tidak mempunyai ketua jurulatih setakat ini.

Turut berlangsung di Kuching ialah Mesyuarat Majlis BAM yang pertama untuk tahun ini pada 17 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 6:21 AM