Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Lanjutan kontrak sementara jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hingga hujung Mac ini menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan mereka.

Menurut jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, belum ada perbicangan rasmi mengenai kontrak berkenaan, tetapi pihak pengurusan akan berjumpa dengan mereka Isnin depan.

“Perkara selanjutnya masih belum ada apa-apa perkembangan. Kini kami tertunggu-tunggu. Setahu kami mereka menanti kehadiran pengarah teknikal, Morten Frost Hensen pada Mac,” katanya.

Jelasnya, situasi berkenaan menyebabkan mereka sukar untuk membuat apa-apa keputusan dan dalam masa sama masih belum ada jaminan sama ada mereka bakal diterima atau tidak meneruskan tugas bersama BAM.

“Jika beliau (Frost) datang dan tidak mahu khidmat kami, akan datang masalah juga nanti. Situasi ini memang menyebabkan kami berada dalam dilema.

“Sekarang kami tunggu Frost datang dan terpulang kepada beliau mahukan khidmat kami atau tidak. Mac nanti baru kita boleh tahu, sama ada akan diterima bekerja atau tidak. Ataupun ditempatkan di bahagian lain,” kata bekas pemain perseorangan negara itu.

Kata Rashid, perkara seperti ini tidak pernah terjadi, jika kontrak mereka tamat ia akan disambung terus dan kebiasaannya ada perbincangan.

“Bukan saya seorang saja, jurulatih lain juga tertanya-tanya. Situasi sekarang belum selamat,” katanya yang menerima surat sambungan kontrak lanjutan itu 31 Disember lalu melalui e-mel.

Sementara itu, ketua jurulatih remaja, Zhou Kejian dikhabarkan sudah meninggalkan BAM kerana tidak puas hati mengenai kontrak dan pulang ke negara asalnya, China.

Tiga lagi jurulatih, Chong Kien Ling, Poh Chai Boon dan Chin Tze Seong yang berkhidmat di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dijangka mengikut langkah sama, kecuali BAM dapat menyelesaikan isu berkenaan.

Salah seorang jurulatih yang enggan namanya didedahkan berkata, kontrak mereka berakhir Disember dan tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

“Kami mendapat emel mengatakan jumlah gaji kami akan kekal sama hingga hujung Mac ini, sebaik saja Frost menyertai BAM sebagai pengarah teknikal.

“BAM membawa masuk dua jurulatih baru dari China, He Guo Quan dan Zhou Yang, tetapi kami tidak pernah melihat mereka melatih pemain di dalam gelanggang. Apa yang kami tahu jumlah bayaran gaji mereka lebih besar, mana keadilan kepada kami.

“Saya tidak tahu jumlah gaji jurulatih senior atau di negeri, tetapi saya boleh beritahu gaji kami terlalu rendah.

“Kami mahu berjumpa pihak pengurusan untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:15 AM