Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Liew Daren tewas pada perlawanan separuh akhir Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Kebangsaan 2014 semalam, tetapi lebih menarik perhatian pemain perseorangan negara itu mengkritik Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tewas kepada Lim Chi Wing 19-21, 10-21 menaikkan kemarahan Daren mengenai sikap pengurusan BAM yang dirasakannya tidak bijak membuat perancangan.

“Kami hanya dapat berehat seminggu, sebelum datang ke sini (Kuala Terengganu), secara tidak langsung kami berlatih dua hari saja,” katanya.

Jelas pemain berusia 27 tahun itu, BAM kurang prihatin mengenai penyusunan jadual pertandingan domestik yang memberi kesan kepada pemain sendiri.

“Sirkit KebangsaanTerbuka Sabah baru saja diadakan dua minggu lalu, sekarang kami terpaksa pula beraksi di Sirkit Kebangsaan Akhir.

“Tetapi mengapa mereka mengadakan dua kejohanan dengan hanya jarak dua minggu saja, saya rasa ia amat melucukan,” katanya.

Dalam masa sama, Daren berpendapat jadual pertandingan tempatan tidak memberikan masalah kepada pemain kerana ia juga membabitkan jurulatih.

“Kami tidak tahu siapa yang akan melatih kami tahun depan, hanya beberapa hari saja menjelang 2015.

“Masalahnya kontrak jurulatih akan tamat hujung tahun ini, tetapi keputusan mengenai lanjutan kontrak atau pelantikan jurulatih baru hanya akan dilakukan tahun depan selepas Mesyuarat Majlis BAM,” kata Daren.

Tambahnya, sudah tentu perkara itu akan memakan masa untuk mereka melakukan persiapan menjelang saingan musim baru Januari depan.

“Kami tidak ada arah, bagaimana mereka mahu kami fokus, saya rasa anda sendiri perlu bertanya kepada mereka (BAM) mengenai perancangan mereka tahun depan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan Zulfadli Zulkifli menumpaskan Iskandar Zulkarnain Zainuddin 21-10, 21-10.

Saingan beregu lelaki pula turut berlaku kejutan apabila Goh V Shem-Tan Wee Kiong kalah kepada Mak Hee Chun-Tan Bin Shen 22-24, 21-13, 13-21 manakala Tan Wee Gieen-Teo Ee Yi mengalahkan Low Juan Shen-Ong Yew Sin 21-13, 18-21, 21-15.

Perseorangan wanita menyaksikan Yang Li Lian mengtasi Lim Yin Fun 21-17, 21-17 manakala Lee Ying Ying pula menumpaskan Ho Yen Mei 16-21, 21-19, 21-18.

Dalam saingan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menempah slot final selepas mengalahkan Peck Yen We-Yap Zhen 21-8, 21-13.

Gandingan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing mara ke saingan akhir acara beregu campuran selepas mengalahkan Tan Wee Gieen-Peck Yen Wei 21-15, 21-11, satu lagi perlawanan Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Soong Fie Cho menumpaskan Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan 21-10, 21-20.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 7:10 AM