FOTO Zatul Iffah Zolkiply
FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berangkat menyaksikan perarakan dan pembarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, di sini.

Baginda tiba di Pentas Diraja kira-kira jam 9 pagi bagi menyaksikan perarakan kontinjen melintas Pentas DiRaja dan mempersembahkan ‘Hormat DiRaja’ selain persembahan sempena hari bersejarah itu.

Turut hadir, Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong dan barisan Exco kerajaan negeri.

Perarakan disertai seramai 4,280 orang daripada 106 pasukan mewakili agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, kumpulan pancaragam dan badan bukan kerajaan.

Terdahulu, semua peserta berkumpul di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kira-kira jam 7 pagi.

Acara dimulakan dengan perbarisan dimulakan dengan penyerahan ‘Jalur Gemilang’ dan nyanyian lagu ‘Negaraku’ secara beramai-ramai sebelum diteruskan dengan bacaan suci Al-Quran dan doa kepada pejuang kemerdekaan.

Sebaik Ahmad Razif membacakan perutusan Hari Kebangsaan sebelum mengetuai laungan ‘Merdeka’ sebanyak tiga kali, perarakan bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Sulaiman, Bulatan Batu Bersurat, hadapan Hospital Sultanah Nur Zahirah, simpang Batu Burok dan berakhir di Dataran Batu Buruk.

Selain itu, orang ramai turut sama memberi sokongan dengan memenuhi sepanjang laluan perarakan.

Lebih RM77,000 hadiah ditawarkan kepada pasukan yang bertanding dengan johan setiap kategori layak menerima wang tunai RM4,000 beserta piala pusingan, naib johan (RM3,000 dan piala pusingan) serta tempat ketiga layak membawa pulang RM2,000 dan piala pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 11:34 AM