AMIRUDIN (tengah) bersama pasukan debat yang menang.
AMIRUDIN (tengah) bersama pasukan debat yang menang.
Fazurawati Che Lah

Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan juara Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2018 kategori bahasa Melayu.

UPM menewaskan pasukan tuan rumah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada pertandingan akhir yang berlangsung di Pusat Permata Pintar Negara, UKM.

Dengan kemenangan itu, pasukan UPM membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000 bersama trofi dan piala pusingan.

Pasukan UPM yang dibarisi empat pendebat wanita iaitu P Pavithra Panirselvam, 24, Nurul Rashidah Roseli, 23, Has Umierah Ibrahim, 22 dan Nur Izzati Suardi, 22, ialah pasukan pencadang pada pertandingan akhir debat yang bertajuk ‘Dewan Ini Menyokong Liberasasi Media Untuk Menjadikan Malaysia Lebih Demokratik’

Pavithra turut dipilih sebagai pendebat terbaik dan menerima anugerah Pendebat Terbaik Akhir.

“Saya gembira dan berpuas hati dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sejak awal hingga ke akhir pertandingan ini,” kata Pavithra, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua itu.

Beliau tidak menyangka terpilih sebagai pendebat terbaik dan bersyukur kerana bersama-sama rakan pasukan dapat membantu UPM muncul juara pertandingan.

“Ia kejayaan yang amat bermakna bagi kami,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang turut merasmikan penutupan pertandingan berkenaan.

Sementara itu, bagi kategori bahasa Inggeris pula, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dinobatkan juara.

Bagi naib johan kategori bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pula masing-masing dimenangi pasukan dari UKM dan Universiti Malaya (UM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 12:54 PM