FALCONE (kiri)  dapat melepasi pertahanan JDTII    dalam saingan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang Selasa lalu.
FALCONE (kiri) dapat melepasi pertahanan JDTII dalam saingan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang Selasa lalu.
Malik Muhammad


Kuala Terengganu: Dua penyerang Federico Falcone dan Mohd Ferris Danial Mat Nasir sudah kembali menemui sentuhan penyudah dan ia khabar menggembirakan buat Terengganu menjelang perlawanan pertama separuh akhir Piala FA bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, malam esok.

Falcone dan Ferris Danial meledak jaringan ketika mengalahkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di tempat lawan Selasa lalu. Kedua-duanya diharapkan mampu mengulangi persembahan sama apabila berkunjung ke gelanggang keramat Helang Merah malam esok.

Sentuhan mereka pasti menjadi taruhan Terengganu yang mengimpikan untuk melakar kejutan di tempat lawan atau sekurang-kurang meraih bekalan selesa untuk aksi timbal balik pada 13 Mei nanti.

Pengendali Terengganu Irfan Bakti Abu Salim sememangnya mengharapkan bisa kedua pemain itu selain kelibat seorang lagi pemain importnya Issey Nakajima Farran untuk merobek gawang lawan.

“Saya gembira apabila melihat Falcone dan Ferris Danial menemui sentuhan jaringan, tambahan pula ia dilakukan di tempat lawan dan JDT II juga bukan calang-calang pasukan.

“Saya amat mengharapkan kedua pemain ini akan dapat mengulangi kecemerlangan mereka apabila beraksi di Stadium Darul Aman nanti,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pasukannya, Ifran kini sedang merangka strategi terbaik untuk berdepan dengan Kedah kerana reputasi pasukan dari Liga Super itu sangat gah walaupun prestasi mereka kelihatan tidak konsisten sejak kebelakangan ini.

Baginya tiada jalan mudah kepada pasukannya untuk melakar kejutan selain daripada pemainnya memberi fokus kepada persiapan sebelum perlawanan dan merealisasikan perancangan yang direncanakan.

Menyifatkan pasukannya sebagai ‘underdog’ dalam saingan separuh akhir itu, dia tidak mahu pemainnya berasa tertekan dan jangan melakukan kesilapan hingga memberi peluang kepada pasukan lawan.

“Semangat pemain kini berkobar-kobar dan bersemangat untuk membuktikan bahawa pasukan layak hingga ke peringkat ini bukan kerana faktor nasib.

“Kami sebenarnya sudah melepasi cabaran pasukan lebih hebat sebelum ini termasuk daripada saingan Liga Super dan peluang dapat layak hingga ke peringkat ini tidak akan disia-siakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 5:27 AM