GOMEZ (kiri) melihat aksi anak buah Jasazrin Jamaluddin (depan) menghalang pemain TFC II Mohd Marzuki.
GOMEZ (kiri) melihat aksi anak buah Jasazrin Jamaluddin (depan) menghalang pemain TFC II Mohd Marzuki.
Oleh Mohd Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Percaturan ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez merehatkan beberapa tonggak utama pada aksi berdepan Terengganu FC II (TFC II) kelmarin, berhasil apabila anak buahnya tetap mempamer aksi membanggakan untuk menang 2-0.

Tanpa kelibat kapten Safiq Rahim yang tidak disenaraikan selain meletakkan Jorge Pereyra Diaz, Juan Martin Lucero, Hariss Harun dan Aidil Zafuan Abd Radzak di bangku simpanan, aksi pemain gantian tidak mengecewakan.

Bagaimanapun, sepanjang 15 minit pertama, barisan pemain Johor DT seolah-olah hilang rentak dan kerap memberi ruang kepada TFC II menguasai perlawanan sebelum kembali membentuk kombinasi mantap pada minit ke-20.

“Saya kurang berpuas hati pada babak pertama sepanjang 15 minit pertama dan selepas itu baru nampak kita menguasai perlawanan dan ia berterusan sehingga tamat perlawanan biarpun saya akui TFC II bukan calang-calang pasukan.

“Tindakan merehatkan beberapa pemain tonggak bukan risiko sebaliknya seperti yang saya katakan barisan pemain Johor DT sama ada pemain utama atau simpanan adalah setanding.

“Tiga mata yang kami bawa pulang itu meningkatkan lagi moral pemain bagi meneruskan perjuangan pada aksi Liga Super namun saya lebih selesa memberi tumpuan satu demi satu perlawanan dan mengubah corak taktikal bagi mengelirukan lawan,” katanya.

Gomez juga tampak bangga dengan disiplin dan komitmen ditunjukkan pemainnya malah pantas bangkit memperbaiki kesilapan untuk kembali mengimbangi kekuatan pasukan lawan dan tidak lagi melepaskan peluang terhidang melakukan penyudah terakhir.

Mengulas keputusan pengadil, Zulkifli Ahmad yang menghadiahkan sepakan penalti kepada TFC II, Gomez jelas keliru dengan situasi itu sama ada pemainnya ada mengasari pemain lawan.

“Saya tidak tahu sama ada keputusan menghadiahkan sepakan penalti itu tepat tapi saya tidak boleh memberi komen lanjut dan ia berlaku dengan pantas tetapi pujian harus diberikan kepada penjaga gol, Farizal Marlias yang menidakkan sepakan pemain lawan.

“Kini saya perlu beralih tumpuan kepada saingan pusingan kedua Piala FA, petang esok dan tidak boleh pandang rendah keupayaan UiTM FC yang berada di tangga teratas Liga Perdana,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 7:27 AM