Penjaga gol JDT Mohd Farizal Marlias (kanan) menyelamatkan serangan penyerang Kelantan Mohamad Ghaddar (tengah). FOTO BERNAMA
Penjaga gol JDT Mohd Farizal Marlias (kanan) menyelamatkan serangan penyerang Kelantan Mohamad Ghaddar (tengah). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Bharu: Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail mengakui moral pemainnya yang lemah menjadi punca pasukannya tewas di halaman sendiri pada aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Beliau berkata walaupun mereka mendahului JDT 2-0 pada awal permainan, namun disebabkan beberapa keputusan pengadil perlawanan Md Nazmi Nasaruddin memberi kesan kepada barisan pemain.

"Saya lihat semangat pemain saya mula lemah selepas pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti kepada pasukan JDT pada minit ke-29.

"Sebagai seorang jurulatih, saya melihat mutu pengadil juga mencorakan permainan pasukan saya. Mungkin beberapa keputusan kurang tepat dilakukan pengadil membuatkan pemain saya sedikit kecewa," katanya selepas perlawanan.

Zahasmi berkata beliau menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi melakukan tindakan susulan berkaitan keputusan pengadil perlawanan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Mungkin pihak kami akan menghantar video perlawanan kepada FAM untuk diteliti kembali keputusan dilakukan oleh pengadil perlawanan terutamanya tindakan memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan.

"Walaupun kami tahu tidak boleh mempertikai keputusan pengadil namun pihak kami akan melakukan sesuatu yang terbaik untuk dijadikan pengajaran," katanya.

Kelantan tewas 2-3 kepada JDT dan gol Kelantan dijaringkan Muhamad Ghaddar m-5 dan m-15 manakala JDT mendapat gol melalui Safiq Rahim m-20, Gabriel Migual Guerra (penalti m-29) dan Gonzalo Gabreil Cabrera m-30.

Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora menyifatkan kemenangan mereka ke atas Kelantan merupakan bonus pasukannya bermain di gelanggang lawan.

Katanya, menentang Kelantan satu perlawanan sukar kerana pasukan tuan rumah mempunyai semangat tinggi untuk menang namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Kelantan kekal pada kedudukan keenam liga selepas sembilan perlawanan mengumpul 12 mata hasil daripada empat kemenangan dan lima kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 12:36 PM