AFIQAH sedih selepas tewas kepada peserta dari Mongolia. FOTO ihsan Salihin Ahmad
AFIQAH sedih selepas tewas kepada peserta dari Mongolia. FOTO ihsan Salihin Ahmad
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: “Setelah 2 jam lebih bertarung... Afiqah kecundang... hanya tangisan sahaja mengiringi keluar dari dewan pertandingan.

"Moga beroleh kejayaan untuk pusingan seterusnya esok (hari ini)... Moga kuat semangatnya menerima kekalahan ini..."

Demikian kata Salihin Ahmad, 45, di Facebook (FB) mengenai perkembangan anaknya, Afiqah Zahra, 7, dalam pusingan ketiga Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Iasa, Romania malam tadi.

Walaupun tewas kepada peserta dari Mongolia, Maral Bat-Ulzii, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang itu membawa bekalan dua kemenangan sebelum ini.

Dia menang di pusingan pertama dan kedua selepas menewaskan seorang lagi peserta Mongolia, Gantsolmon Enkhuyanga di pusingan pertama dan wakil India, Shriyana S Mallya di pusingan kedua dalam kategori perempuan bawah 7 tahun.

Afiqah Zahra akan meneruskan saingan sembilan pusingan itu pada pusingan keempat hari ini bersama kakaknya, Nur Anisah Salihin, 17, yang bertanding dalam kategori perempuan bawah 17 tahun.

Kekecewaan Afiqah Zahra di pusingan ketiga bagaimanapun ditebus Nur Anisah apabila menang menentang peserta tuan rumah, Mihaela-Delia Radu selepas tewas di pusingan pertama dan seri di pusingan kedua.

Kisah tiga beranak ini mendapat perhatian netizen di FB selepas Salihin sanggup menjual rumah keduanya di Segamat, Johor pada harga RM65,000 untuk menampung perbelanjaan membawa dua anaknya ke pertandingan itu.

Netizen di FB tidak ketinggalan memberikan kata-kata semangat kepada Afiqah Zahra di ruangan komen FB Salihin.

"Jangan sedih adik Afiqah, sampai ke tahap ini pun sudah membanggakan rakyat Malaysia. Adik pasti boleh. Jangan putus asa teruskan usaha. Kami mendoakan semoga kejayaan itu milik adik Afiqah," kata Lia Liana.

Maliah Mohd Yatim pula mahu Afiqah Zahra berehat sebelum turun berdepan lawan di pusingan hari ini.

"Jangan sedih Afiqah. Kami tahu awak dah buat yang terbaik. Rehat-rehat dan tenangkan fikiran dan hati. Masa di sana tak sama dengan masa di sana. Mungkin dia masih dalam proses penyesuaian masa... sini dah malam," katanya.

Enam belas peserta Malaysia menggalas cabaran negara dalam pertandingan sembilan pusingan itu dan dijangka berakhir pada 30 April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 9:39 AM