AFIQAH (kiri) seri dengan Lala di pusingan kelima. FOTO ihsan Salihin Ahmad
AFIQAH (kiri) seri dengan Lala di pusingan kelima. FOTO ihsan Salihin Ahmad
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: “Semoga dia lebih fokus dan dapat idea-idea logik untuk memperoleh kemenangan. Semoga rakyat Malaysia ikhlas mendoakan kejayaan.”

Demikian doa dan harapan seorang bapa, Salihin Ahmad, 45, kepada anaknya, Afiqah Zahra, 7, selepas menempuh pusingan kelima Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania, semalam.

Afiqah Zahra seri di pusingan itu sekaligus berkongsi setengah mata dengan lawan dari Azerbaijan, Lala Nasirova dalam kategori perempuan bawah 7 tahun.

Salihin Ahmad yang juga guru bahasa melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang berkata, anaknya boleh memenangi perlawanan sekiranya tidak melakukan kesilapan awal.

"Harapan menggunung tinggi untuk kemenangan, takut anak tak mampu untuk mencapai dan gagal untuk mengekalkan kedudukan.

"Bawah lima move (pergerakan) dia dah buat silap. Memandangkan lawan menghafal (pergerakan) opening (pembukaan) dia tak nampak kesilapan.

"Dalam middle game (pertengahan permainan) saling menyerang, end game (penghujung permainan) lawan tinggal dua pawn, dia ada satu kuda dan satu bishop, kesilapan menyebabkan draw (seri). Sepatutnya menang," katanya ketika dihubungi Harian Metro, malam tadi.

Daripada lima pusingan diharungi, Afiqah Zahra hanya tewas kepada pemain dari Mongolia, Maral Bat-Ulzii di pusingan ketiga sebelum bangkit di pusingan keempat dengan menundukkan peserta ranking kedua kejohanan kelmarin.

Dia menghuni ranking ketiga setakat lima pusingan dan akan berdepan empat lagi lawan untuk melengkapkan sembilan pusingan keseluruhan.

Selain Afiqah Zahra, anak sulung Salihin, Nur Anisah, 17, turut bertanding dalam kejohanan itu menerusi kategori perempuan bawah 17 tahun.

Keputusan sama turut dicatat Nur Anisah apabila seri dengan pemain tuan rumah, Andrada Popa untuk berada di ranking ke-25.

Kisah tiga beranak ini menjadi perhatian pengguna Facebook (FB) selepas Harian Metro berkongsi kisah mereka pada 21 April lalu apabila Salihin sanggup menjual rumah keduanya di Segamat, Johor pada harga RM65,000 demi membawa dua anaknya itu ke pertandingan di bandar Iasa itu.

Enam belas peserta Malaysia menggalas cabaran negara dalam pertandingan disertai lebih 500 murid dan pelajar sekolah dari 41 negara dan dijangka berakhir pada 30 April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 10:37 AM