Afiqah Zahra (gambar kiri) dan Nur Anisah pada pusingan pertama Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Iasa, Romania. FOTO Ihsan FB Salihin Ahmad.
Afiqah Zahra (gambar kiri) dan Nur Anisah pada pusingan pertama Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Iasa, Romania. FOTO Ihsan FB Salihin Ahmad.
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: “Pusingan pertama baru berakhir. Afiqah menang manakala Anisah kalah. Rupanya lawan Afiqah bukan calang-calang.

“Alhamdullillah dapat pengajaran berguna, esok (hari ini) lagi dua round (pusingan) harap Afiqah dapat teruskan rentak kemenangan. Moga Anisah bangkit dari kesilapan.”

Itu kata Salihin Ahmad, 45, bapa kepada Afiqah Zahra, 7, selepas anak keenamnya itu menang pusingan pertama Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Iasa, Romania, semalam menerusi catatan di Facebook (FB).

Afiqah Zahra menang selepas menewaskan lawan dari Mongolia, Gantsolmon Enkhuyanga, dalam kategori perempuan bawah 7 tahun.

Kisah tiga beranak ini mendapat perhatian netizen di FB selepas Salihin sanggup menjual rumah keduanya di Segamat, Johor pada harga RM65,000 untuk menampung perbelanjaan membawa dua anaknya ke pertandingan itu.

Sementara itu, anak sulung Salihin, Nur Anisah, 17, tewas di tangan pemain Turki, Yagmur Guclu dalam kategori perempuan bawah 17 tahun di pusingan pertama.

Afiqah Zahra bertemu wakil India, Shriyana S Mallya manakala Nur Anisah bertemu rakan sepasukan Ellie Emira Syami Ahmad Nazar di pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Persekutuan Catur Malaysia (MCF), Nik Hishamuddin Nik Mustapha berkata, wakil Malaysia mempamerkan persembahan yang bagus setakat pusingan pertama semalam.

"Afiqah Zahra antara tiga peserta Malaysia yang menang di pusingan pertama semalam. Dua lagi ialah Kumar Padthmaruben dalam kategori terbuka bawah 15 tahun dan Wong Qi Zhi, (terbuka bawah 9 tahun).

"Mereka bermain dengan baik jika dinilai berdasarkan kekurangan infrastruktur sukan catur dalam negara kita," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

16 peserta Malaysia menggalas cabaran negara dalam pertandingan sembilan pusingan itu dan dijangka berakhir pada 30 April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 6:50 PM