AZAMUDDIN  (tengah) jaring gol kedua Johor DT.
AZAMUDDIN (tengah) jaring gol kedua Johor DT.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Meskipun Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mengharungi jadual perlawanan padat namun pengendali pasukan Benjamin Mora tetap berpuas hati dengan komitmen setiap pemain bagi memastikan tangga teratas Liga Super kekal milik mereka.

Walaupun menang tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang pada aksi liga di Stadium Negeri, Batu Kawan malam kelmarin, Mora pantas meluahkan rasa bangga dengan komitmen setiap pemainnya.

Katanya, barisan pemain Johor DT kelihatan letih selepas mengharungi bukan saja saingan liga malah turut beraksi di Piala AFC serta suku akhir Piala FA.

“Tidak kisah sama ada kami menang tipis atau besar, yang penting tiga mata dan kami berjaya menjarakkan kedudukan dengan pencabar seperti Pahang dan Kedah. Saya bangga dengan persembahan pemain Johor DT.

“Pemain kepenatan dan corak permainan yang dipamerkan ketika menentang Pulau Pinang tidak seperti biasa apabila kerap memperlahankan rentak namun kami masih menguasai perlawanan dan tidak membiarkan lawan mengawal bola.

“Dua gol berpunca daripada Azamuddin (Akil) yang memainkan peranan menerusi hantaran lintang untuk Gonzalo Cabrera selain dia sendiri mencipta jaringan,” katanya.

Mora menegaskan beliau akan memberi rehat kepada pemain bagi memastikan anak buahnya kembali cergas sebelum beraksi di Piala AFC menentang kelab dari Myanmar, Magwe FC, Rabu ini.

Katanya, latihan yang agak keras sebelum ini menjejaskan sedikit rentak permainan dan beliau akan memastikan ia tidak berulang tatkala tumpuan lebih terarah kepada soal memantapkan taktikal permainan.

“Kami akan terus memburu kemenangan dan aksi menentang Magwe FC pada perlawanan terakhir Kumpulan F Piala AFC amat penting kerana mahu meraih tiga mata bagi menempatkan diri ke saingan kalah mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 9:12 AM