BENJAMIN Mora.
BENJAMIN Mora.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Misi memburu tiga mata diteruskan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) biarpun melakukan perubahan pemain dalam kesebelasan utama apabila menentang kelab dari Myanmar, Magwe FC pada aksi Kumpulan F Piala AFC di Stadium Thuwunna Youth Training Centre, Yangon, petang ini.

Sudah berada di Yangon sejak tiga hari lalu bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas, pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora (gambar) tetap optimis pemain yang diturunkan mampu memberikan persembahan terbaik untuk memburu kemenangan kedua pada saingan itu.

Difahamkan Johor DT tidak akan menurunkan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Marcos Antonio, Gonzalo Cabrera, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan S Kunanlan bagi memberi ruang kepada mereka berehat sebagai persiapan berdepan UiTM FC pada pusingan ketiga Piala FA, Jumaat ini.

“Akan ada penggiliran pemain dan saya yakin pemain simpanan yang akan beraksi nanti memiliki kualiti setanding dengan pemain utama dan tiada masalah untuk saya membuat perubahan.

“Walaupun tampak mencabar kerana kami akan beraksi dalam keadaan cuaca panas tapi itu adalah cabaran yang harus kami tempuhi dan sentiasa fokus dalam perlawanan malah langkah untuk tiba awal memberi ruang kepada pemain menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini.

“Sasaran tiga mata tetap diteruskan dan percaya pemain yang turun akan memberi komitmen tinggi dalam perlawanan itu kerana kami tidak boleh hilang mata bagi mengekalkan kedudukan tangga teratas kumpulan,” ujarnya.

Walaupun Magwe kali pertama layak ke Piala AFC, pengendali dari Mexico itu tetap menghormati skuad kendalian Zaw Win Tun yang pasti ingin bangkit daripada kekalahan tipis 0-1 di tangan kelab dari Filipina, Global FC.

Menurutnya, selepas menonton rakaman video corak permainan kelab dari Myanmar itu, jelas pemain pasukan itu gemar beraksi dengan permainan pantas dan setiap pemain Johor DT tidak boleh mengambil mudah dan sentiasa berwaspada dengan kelicikan barisan pemain muda lawan.

Beliau menegaskan latihan awal di Myanmar memberi kesan kepada pemain yang menunjukkan peningkatan.

“Saya hanya boleh ubah supaya pemain segera menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca namun apa jua permasalahan yang dihadapi itu bukan alasan sebaliknya akan turun habis-habisan memburu tiga mata,” jelas Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 10:38 AM