PEMAIN JDT, Diogo Luis Santo diasak pemain UiTM FC Muhamad Afif Asyraf Mohamad Zabawi dan Mohammad Amer Azahar di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin. FOTO/BERNAMA
PEMAIN JDT, Diogo Luis Santo diasak pemain UiTM FC Muhamad Afif Asyraf Mohamad Zabawi dan Mohammad Amer Azahar di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin. FOTO/BERNAMA
Rizar Mohd Noor


SINDROM lambat panas mengundang kegusaran buat ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora yang mengakui tidak berpuas hati dengan corak permainan barisan pemainnya pada aksi pertama Kumpulan B saingan Piala Malaysia, malam tadi.

Mora menegaskan walaupun JDT berjaya menewaskan UiTM FC 3-1 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, secara keseluruhan masih ada kelemahan yang harus diperbaiki menjelang aksi seterusnya menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di gelanggang sama, Rabu ini.

"Kami tidak 100 peratus berpuas hati dengan persembahan pada perlawanan ini kerana tahu pemain mampu memberi persembahan lebih baik terutama dalam aspek taktikal dan kekuatan mental.

"Saya tidak nafikan kami menentang pasukan terbaik dari Liga Perdana namun selaku pasukan Liga Super kami sepatutnya dapat mengawal permainan tanpa membiarkan pasukan lawan mengambil kesempatan bermain dengan corak serangan balas pantas.

"Apa yang berlaku dalam perlawanan itu, ada pemain yang tidak berada pada tahap memuaskan dan ia boleh berlaku kepada pemain tatkala beraksi dalam perlawanan pertama dan sindrom itu bukanlah serius, ia boleh diatasi," katanya.

Mora berkata, apa yang mustahak skuad Harimau Selatan bermula dengan langkah kanan apabila meraih tiga mata tatkala beraksi di laman sendiri dan apa yang perlu dilakukan adalah mengkaji semula beberapa kelemahan sepanjang perlawanan itu bagi memastikan situasi sama tidak berulang.

Ditanya mengenai persembahan Safawi Rasid yang kurang menyerlah ketika menentang skuad The Lion Troops, beliau menegaskan pemain muda itu perlu lebih kerap mendapat bantuan daripada rakan sepasukan untuk memastikan rentak permainnya tidak terjejas dan optimis pemain itu akan bangkit pada aksi seterusnya.

Mora juga tampak lega dengan sentuhan penyudah Diogo Luis Santo yang kembali berbisa selepas meledak dua gol untuk memastikan JDT menang 3-1 dalam perlawanan itu malah berkeyakinan pemain itu akan terus memberi sumbangan terbaik bagi mengharungi kempen piala berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 12:41 PM