Bandung: Polis menyoal siasat seorang budak lelaki berusia 13 tahun semalam selepas gambarnya memandu sebuah teksi tular di media sosial baru-baru ini.

Ketika disoal siasat budak yang masih bersekolah itu mengaku dia memandu teksi berkenaan kerana pemiliknya sakit perut.

Katanya, ketika kejadian dia berada di Tugu Pasar Kordon dan bertemu dengan pemilik teksi itu yang dikenali sebagai Ronald Tambunan.

“Ronald meminta saya membawa teksinya itu kerana dia sakit perut dan pada masa yang sama ada penumpang di dalamnya.

“Saya hanya membawa teksi itu sampai ke Samsat sebelum kembali semula di Tugu Pasar Kordon,” katanya yang dipetik Merdeka.com.

Menurutnya, dia baru tiga minggu belajar membawa kereta sebelum membawa teksi berkenaan.

Gambar remaja itu tular selepas seorang penumpang merakamkan gambarnya memandu teksi berkenaan.

Penumpang itu terkejut bagaimana seorang budak lelaki yang masih bersekolah boleh memandu teksi.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan apakah tindakan pihak berkuasa terhadap remaja itu dan pemilik teksi berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 10:20 AM