SEBAHAGIAN daripada teksi yang tersadai selepas dipulangkan drebar teksi yang tidak lagi mampu bersaing dengan Grab dan Uber.
SEBAHAGIAN daripada teksi yang tersadai selepas dipulangkan drebar teksi yang tidak lagi mampu bersaing dengan Grab dan Uber.
MAHADI membawa pelanggan yang masih menggunakan perkhidmatan teksi.
MAHADI membawa pelanggan yang masih menggunakan perkhidmatan teksi.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: “Memang pendapatan membawa teksi sekarang tidak berbaloi namun saya tetap memandu kerana masih mempunyai hutang yang perlu dibayar,” kata pemandu teksi, Mahadi Mohammed Yusof, 51.

Dia yang sudah sembilan tahun memandu teksi sebagai sumber utama pendapatan keluarga berkata, keseronokan memandu teksi memberinya kekuatan dan semangat meneruskan pekerjaan itu.

“Apabila bawa teksi, saya rasa seronok dan tenang kerana tidak perlu berdepan dengan seorang ketua yang mungkin akan mendesak kita membuat banyak kerja.

“Saya tahu era teknologi sekarang menjadi kekangan kepada sebilangan pemandu teksi yang mengekalkan cara tradisional mendapat penumpang, tetapi mungkin ada yang selesa dengan semua itu,” katanya sambil memberitahu pendapatannya sekarang hanya sekitar RM53 hingga RM70 sehari.

Menurutnya, dia juga masih menggunakan cara lama iaitu berpusing-pusing di sekitar bandar raya untuk mendapatkan penumpang.

“Saya bukan tidak pandai menggunakan aplikasi tetapi lebih seronok kalau mengekalkan penggunaan meter walaupun tahu sukar untuk mendapatkan penumpang.

“Saya juga tidak kisah sekiranya menunggu begitu lama khususnya jika berada di kawasan tumpuan,” katanya yang akan keluar dari rumah di Rawang, Selangor seawal jam 6 pagi untuk memulakan tugasnya.

Mahadi berkata, berikutan perlu berdepan persaingan, dia juga terpaksa tidur dalam teksi dan kadangkala pulang sekali dalam tempoh tiga hari semata-mata untuk mencari pendapatan lebih kerana kini perkhidmatan teksi bukan lagi pilihan orang ramai.

“Saya perlu mencari pendapatan lebih kerana teksi yang digunakan adalah disewa dengan harga RM58.40 sehari.

“Jika tiada pendapatan lebih, apa untung yang saya dapat? Saya masih ada keluarga dan perlu menyara tiga anak yang masih tidak bekerja,” katanya.

Tidak mahu memikirkan soal teknologi, Mahadi berkata, dia akan meneruskan kerjanya seperti biasa.

“Biar apa yang berlaku, saya reda dengan ketentuan ini. Masyarakat ada pilihan sendiri untuk mencari pengangkutan ke mana-mana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 6:43 AM