MANIKAM sentiasa menjaga kebersihan teksinya kerana mementingkan keselesaan dan keselamatan penumpang.
MANIKAM sentiasa menjaga kebersihan teksinya kerana mementingkan keselesaan dan keselamatan penumpang.
Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Kini, di mana-mana sahaja boleh dilihat yang memandu teksi sebahagian besarnya membabitkan individu warga emas berusia 60-an malah ada yang berumur 70-an.

Bukan lagi boleh dianggap sebagai satu industri, perkhidmatan teksi kini umpama penghujung nyalaan cahaya lilin dan mungkin menunggu masa untuk pupus.

Hanya warga emas yang meneruskan usaha memandu teksi apabila golongan muda tidak berminat untuk meneruskan legasi pengangkutan awam ini kerana berkemungkinan akibat pendapatan tidak terjamin.

Walaupun mengeluh, ramai warga emas masih terus mengerah kudrat memandu teksi, malah mereka turut menyimpan pelbagai kenangan susah senang sepanjang bergelar pemandu teksi.

"Saya pernah diacu pistol di kepala ketika membawa penumpang yang juga berniat menyamun ketika di Lahad Datu, Sabah kira-kira 30 tahun lalu.

"Syukur kerana lelaki itu (penjenayah) termakan pujukan selepas beritahu hanya saya yang menyara isteri dan sembilan anak yang masih bersekolah (ketika itu)," kongsi Jaapar Oyang, 66.

Jaapar berkongsi pengalaman perit dilalui sepanjang empat dekad menjadi pemandu teksi di Kota Kinabalu.

Kata Jaapar, kenangan itu masih kekal dalam ingatan malah dia tidak memandu teksi hampir dua bulan kerana trauma.

"Setiap hari pemandu teksi berdepan pelbagai risiko daripada ditipu penumpang, menjadi mangsa samun hinggalah terbabit dalam kemalangan kerana mencari rezeki.

"Ia belum lagi persaingan perlu dihadapi dengan pengusaha kereta sapu. Malah, kini kami terpaksa bersaing dengan perkhidmatan e-hailing membuatkan ramai pemandu teksi terpaksa meninggalkan kerjaya ini," katanya.

Menurut Jaapar, sekitar 2014, sebelum perkhidmatan e-hailing ditawarkan secara meluas di Kota Kinabalu, ada lebih 1,000 pemandu, namun kini hanya berbaki kurang 20 yang kekal memandu teksi.

"Ramai pemandu terpaksa beralih kerja lain dan ada yang terpaksa menukar status teksi kepada khidmat kereta sewa untuk terus menjana pendapatan," katanya.

Tambah Jaapar, hampir mustahil pemandu teksi bandar hari ini dapat menyara kehidupan mereka dengan pendapatan harian sekitar RM30 hingga RM50 sehari. Jika bayaran untuk permit teksi dan sewa kenderaan dikenakan ialah RM40 sehari, trend pendapatan harian pemandu teksi sejak 2015 hanya sekitar RM30 hingga RM50.

"Bayangkan betapa terdesaknya kehidupan pemandu teksi bandar sekarang apabila perlu berpusing atau perlu menunggu empat hingga lima jam hanya untuk mendapatkan seorang penumpang," katanya.

Bagi M Manikam, 65, yang mula memandu teksi sejak 2004, kerjaya itu menjadi pilihan sebahagian individu yang mahu beralih angin untuk kehidupan lebih baik.

"Sebelum ini, saya memandu lori dan ketika usia mencecah 40-an, saya tidak lagi mampu melakukan kerja berat.

"Saya menjadi pemandu teksi bandar di Kuala Lumpur. Awal 2000, pendapatan pemandu teksi ketika itu lumayan, kami mampu meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM150 sehari , malah boleh mendapatkan sehingga 20 penumpang bagi tempoh sama," katanya.

Di samping itu, kini, menurut Manikam lagi, sejak 2015, pendapatan pemandu teksi susut sehingga 80 peratus.

Katanya, dia pernah memandu daripada jam 8 pagi hingga jam 2 pagi dengan pendapatan hanya RM30 sahaja.

Menurutnya, dia juga bimbang dengan masa depan pemandu teksi dalam kalangan golongan muda yang mungkin akan lebih teruk terjejas memandangkan komitmen tinggi perlu ditanggung seperti kos sara hidup.

Sudah sedekad hak, kebajikan pemandu tidak terbela

Hak dan kebajikan pemandu teksi masih tidak terbela sejak hampir sedekad.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia Kamarudin Mohd Hussain berkata , sejak e-hailing menguasai perkhidmatan pengangkutan bermula 2014, pendapatan dan kualiti hidup pemandu teksi mula terjejas.

"Pendapatan pemandu teksi terjejas apabila mereka hilang kira-kira 80 peratus pendapatan sejak e-hailing diperkenalkan.

"Sepatutnya ada mekanisme yang jelas berkaitan peruntukkan dalam perkhidmatan pengangkutan bagi mengawal dan menyelia servis ini, baik e-hailing, teksi atau kereta sewa, agar ia melindungi hak terutama pemandu yang sudah lama memberi khidmat kepada penumpang pengangkutan awam di Malaysia.

"Lebih mengecewakan, pihak berkaitan mencipta naratif kononnya pemandu teksi tidak mahu berubah dan menolak kemajuan," katanya.

Hakikatnya, menurut Kamarudin, pemandu teksi adalah pihak pertama yang menggunakan e-hailing (MyTeksi) sebelum syarikat berkenaan menukar nama dan modul operasi mereka kepada kenderaan persendirian yang jelas menyalahi Akta 333, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta 715 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Menurut Kamarudin, pihaknya memahami hasrat kerajaan mahu rakyat menikmati kadar tambang berpatutan, namun tindakan pihak berkaitan membenarkan operasi secara berleluasa tanpa bersyarat membuatkan syarikat e-hailing menjadi penentu kepada kadar tambang.

"Dalam kadar tambang teksi bandar, perkiraan jelas kerana kadar tambang sudah diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan.

"Berbanding caj dikenakan e-hailing, ia lebih 'taktikal' apabila ia dilihat memberi persaingan tidak sihat dalam industri.

"Saranan kami adalah, selaraskan perkhidmatan teksi dan e-hailing termasuk peraturan serta tambang (RM1.50 per kilometer)," katanya.

"Selaraskan kadar komisen teksi dan e-hailing 10 peratus dan lebih baik jika kerajaan mewujudkan aplikasi e-hailing yang diselia oleh agensi atau perbadanan bawah kementerian berkaitan," katanya.

Jika tidak, kata Kamarudin, industri teksi tempatan hanya diceburi golongan warga emas.

"Saya tidak hairan jika industri teksi dalam Malaysia diancam kepupusan kerana hanya tinggal warga emas sahaja sanggup meneruskan pekerjaan ini," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 6:31 AM