Amir Abd Hamid


Sepang: Hidup bagaikan nazak. Itulah hakikat yang berlaku kepada industri pengangkutan awam darat khususnya teksi dan limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tempias impak negatif itu terjadi apabila virus Covid-19 menular ke Malaysia sehingga kerajaan terpaksa menutup sempadan kepada negara lain serta melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dalam usaha memutuskan penularan.

KLIA yang pernah berada di di tempat ke-12 daripada 20 lapangan terbang paling banyak disambungkan di seluruh dunia, manakala untuk Asia Pasifik di tempat ketiga oleh Indeks Megahub Antarabangsa OAG 2018, kini bertukar lesu dan suram.

Rata-rata pemandu teksi dan limosin KLIA ditemui menyifatkan mereka umpama mengais rezeki dalam industri tenat berikutan penumpang yang sangat berkurangan.

Muhd Razi Rasidin, 26, yang sudah lima tahun membawa teksi eksekutif bermeter di KLIA berkata, selepas PKP hingga sekarang pemandu teksi terpaksa menunggu giliran antara tujuh hingga lapan hari untuk mendapatkan satu trip atau penumpang.

"Teksi di KLIA menggunakan sistem que airport (beratur giliran), bermula nombor giliran diambil sampai untuk keluar satu trip daripada nombor itu mengambil masa tujuh atau lapan hari.

"Ia akan berulang semula. Ambil nombor dan kena lagi menunggu tempoh yang sama untuk mendapatkan penumpang.

"Jika sewa beli teksi, kami akan dikenakan bayaran harian oleh syarikat iaitu ada antara syarikat kenakan RM75, RM80 malah RM95 sehari pun ada. Sedangkan nak cari RM100 sehari pun sekarang tidak boleh dapat," katanya ditemui dalam tinjauan Harian Metro di KLIA.

Katanya, tempoh perjanjian sewa beli itu pula biasanya antara empat tahun setengah, lima tahun dan tujuh tahun.

"Kami memang dalam keadaan ikat perut. Hari demi hari, mengikat perut. Sebelum ini sewa kereta boleh lepas, tidak ada hutang makan minum, sewa rumah boleh bayar.

"Tetapi sekarang semua benda ini tersangkut. Pendapatan jatuh merudum hinggakan nak makan tu fikir...kita makan atau pun yang kat rumah makan.

"Kawan (pemandu teksi) yang rezeki lebih sama-sama kongsi makan tetapi isteri di rumah ada mulut hendak diisi. Kami tak minta banyak kepada kerajaan, cuma pandanglah kami," katanya yang menunggu masa kelahiran anak pertama.

Pemandu teksi, Khaw Kai Seng, 65, dari Kajang pula berkata, zaman sekarang sukar untuk mendapat penumpang yang menahan teksi di tepi jalan.

Ini kerana, katanya, penumpang masa kini lebih gemar menempah kenderaan e-hailing dan disebabkan itu dia tetap sanggup menunggu di KLIA walaupun musim Covid-19 tetap sukar mendapat penumpang di lapangan terbang itu.

"Sekarang susah. Pagi tak ada penumpang sebab penerbangan tidak ada. Malam ada trip. Teksi sekarang tak ada orang tunggu (tepi jalan) untuk tahan.

"Orang tengok teksi kadang-kadang dia tak suka. Teksi berhenti pun dia tak suka. Dia mahu e-hailing...susah sebab itu kita mari sini (KLIA). Tetapi kita yang datang sini, kena tunggulah," katanya.

Bagi pemandu limosin Airport Limo, Khairuddin Che Roman, 52, berasal dari Gerik, Perak dan kini menetap di Puchong berkata, keadaan ketika ini sangat perit sehingga terpaksa meminjam untuk makan dia sekeluarga.

Bapa kepada empat cahaya mata termasuk tiga sedang bersekolah dan seorang anak bongsu berusia empat tahun itu menjelaskan biasa berlaku terputus makanan.

"Hello (hubungi) abang, hello kakak, minta bantuan kerana terpaksa. Nak minta tolong kawan-kawan, mereka pun sama macam kita.

"Sama-sama cari makan, kawan pun nak minta tolong kita juga kalau boleh. Jadi, kita minta tolong adik-beradik sahajalah yang mampu. Itu pun untuk makan sahajalah, lain-lain tak ada," katanya.

KELIHATAN beberapa teksi yang menanti kehadiran pelanggan di luar balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad
KELIHATAN beberapa teksi yang menanti kehadiran pelanggan di luar balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 10:08 AM