SPASOJEVIC (tengah) akan cuba sehabis baik tembusi gol FELDA.
SPASOJEVIC (tengah) akan cuba sehabis baik tembusi gol FELDA.

Melaka: Kapten Melaka United IIija Spasojevic memasang tekad menggegarkan gawang FELDA United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam ini.

Selepas hanya mampu meledak satu gol sepanjang liga dan Piala FA setakat ini, dia mengaku agak kecewa dengan perkembangan berkenaan namun tidak pernah putus asa untuk menyumbang sesuatu buat skuad Hang Tuah.

Menurutnya, Melaka sudah mengharungi sembilan perlawanan tetapi dia hanya mampu beraksi dalam enam perlawanan akibat kecederaan, namun kini kembali cergas untuk membantu pasukan.

Musim lalu, dia juga hanya bermula garang pada perlawanan keenam Liga Perdana selepas ketandusan jaringan dalam lima aksi sebelumnya sebelum akhirnya muncul penjaring terbanyak.

“Sebagai penyerang sudah pasti saya mahu menemui sentuhan terbaik. Justeru, dua perlawanan terakhir pusingan pertama ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan kami meraih enam mata termasuk ketika berdepan PKNS FC.

“Jika tidak berjaya menjaringkan gol sekalipun saya berharap untuk membantu kemenangan pasukan dengan sekurang-kurangnya meraih empat mata daripada dua aksi terbabit,” katanya.

Mengaku kecewa dengan kekalahan 0-7 di tangan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) minggu lalu, dia mahu melupakan prestasi buruk terbabit sambil terus memandang ke depan.

Spasojevic berkata, kekalahan itu pengajaran paling berharga untuk pemain dalam memastikan Melaka berada di landasan betul bagi mengelak masalah lebih parah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 8:57 AM