Nazri Abu Bakar

Melaka: Walaupun amat terkilan gagal membantu Melaka United ketika berdepan Pahang pada pusingan ketiga Piala FA di Kuantan Sabtu lalu akibat kecederaan, kapten Melaka IIija Spasojevic (gambar) akur dengan nasib tidak menyebelahi pasukan itu mara ke suku akhir.

Menurutnya, apakan daya kecederaan hamstring menyebabkan dia gagal beraksi dalam perlawanan penting itu, justeru kini fokusnya adalah cuba pulih segera sekali gus menyumbang kepada sentuhan bertenaga pada baki saingan liga.

Spasojevic berkata, komitmen tinggi rakan sepasukan pada perlawanan itu tetap dipuji namun tuan rumah beraksi lebih baik untuk menang 2-0.

“Selepas teguran Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Idris Haron yang mahu melihat skuad lebih menyerlah selepas kekalahan 0-4 kepada Kedah pada saingan liga, skuad kali ini diyakini memperoleh suntikan motivasi berdepan cabaran getir pada tiga baki pusingan pertama dan aksi pusingan kedua kelak.

“Secara keseluruhan pemain berazam untuk meningkatkan prestasi di pentas liga tambahan selepas mendapat amanat daripada presiden supaya beraksi lebih baik,” katanya.

Spasojevic yakin dia mampu memberikan sumbangan bermakna pada tiga baki perlawanan pusingan pertama bertemu Johor Darul Ta’zim, FELDA United dan PKNS.

Baginya, dia akan memberikan sentuhan terbaik selepas hanya meledak satu gol sepanjang aksi liga sebelum ini, sambil yakin mampu memperoleh sentuhan jaringan selepas ini.

Penjaring terbanyak Liga Perdana 2016 itu jelas mahu melupakan sentuhan kurang menjadi akibat kecederaan sebelum ini, untuk memberi peranan lebih besar buat skuad Hang Tuah musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 8:02 AM