Sulaiman Md Ali (kanan) bersama motosikal yang bakal menanti pemenang cabutan bertuah ketika menyaksikan perlawanan Melaka United berdepan Selangor, Ahad ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Sulaiman Md Ali (kanan) bersama motosikal yang bakal menanti pemenang cabutan bertuah ketika menyaksikan perlawanan Melaka United berdepan Selangor, Ahad ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Sebuah motosikal Honda RS150 menanti peminat bola sepak Melaka United yang membeli tiket secara online dan hadir menyaksikan skuad itu berdepan Selangor di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, pada Ahad ini.

Pengerusi MUFC yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, program berkenaan antara usaha Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) dan Melaka United FC mempromosi 'Jom Tengok Bola Di Stadium' sekali gus merancakkan sambutan Liga Malaysia.

Katanya, cabutan bertuah yang disumbangkan oleh KenTeam Sdn.Bhd terbabit bertujuan menggalakkan peminat bola sepak di Melaka hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada skuad Hang Tuah.

Menurutnya, harga tiket yang kekal dengan RM20 bagi tempat duduk berbumbung dan RM15 tempat duduk terbuka seperti sebelum ini membolehkan peluang buat peminat setia skuad terbabit kembali ke stadium.

"Hanya maksimum 4,000 penonton sahaja yang dibenarkan menyaksikan perlawanan berkenaan dan kita amat berharap peminat tidak melepaskan peluang untuk hadir ke stadium.

"Bagaimanapun, semua pihak khususnya penyokong diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan Covid-19," katanya.

Sulaiman berkata, jika semua pihak dapat mematuhi SOP yang ditetapkan, sudah pasti mereka bakal berpeluang untuk menyaksikan perlawanan seterusnya di stadium sehingga liga berakhir kelak.

Dalam pada itu, dia juga mengharapkan skuad terbabit bakal meraih kemenangan di laman sendiri selepas meraih tiga mata ke atas UiTM minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 4:27 PM