PEMAIN MTAQP Pulau Pinang meraikan kemenangan selepas muncul juara Kategori Terbuka di Program Ziarah Mahabbah dan Pertandingan Futsal serta Bola Sepak Madrasah Tahfiz Zon Utara Ke-4.
PEMAIN MTAQP Pulau Pinang meraikan kemenangan selepas muncul juara Kategori Terbuka di Program Ziarah Mahabbah dan Pertandingan Futsal serta Bola Sepak Madrasah Tahfiz Zon Utara Ke-4.
Azahar Hashim


Kulim: Madrasah Tahfizul Quran Penanti (MTAQP) Pulau Pinang muncul juara Program Ziarah Mahabbah dan Pertandingan Futsal serta Bola Sepak Madrasah Tahfiz Zon Utara Ke-4 berlangsung di Stadium Mini Keladi Kulim, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran MTAQP dengan kerjasama Pinta Negeri Zon Utara itu disertai 50 pasukan bola sepak daripada madrasah tahfiz kawasan utara membabitkan Kedah, Pulau Pinang, Perlis serta Perak.

Pada perlawanan akhir kategori terbuka, MTAQP menewaskan Madrasah Tahfiz Kubur Panjang, Pendang, Kedah 2-0 menerusi gol Arif Fahmi Kamil.

Arif Fahmi turut dipilih pemain terbaik manakala rakan sepasukan, Ahmad Jasdi penjaga gol terbaik.

Bagi acara futsal kategori bawah 13, Madrasah Mahmudiah, Serdang, Kedah muncul juara diikuti Madrasah Tahfiz AsSyafie, Lubuk Meriam, Pulau Pinang.

Juara futsal kategori bawah 15 tahun dirangkul Madrasah Tahfiz AsSyafie, Lubuk Meriam yang menewaskan MTAQP 5-0.

Madrasah Mahmudiah, Serdang, Kedah muncul juara bola sepak bawah 18 tahun selepas menewaskan Madrasah Manabiul Ulum, Penanti, Pulau Pinang 1-0.

Pengerusi pertandingan Hafiz Maarof berkata, sambutan diterima menggalakkan apabila 50 pasukan membabitkan 400 peserta tampil mengesahkan penyertaan masing-masing.

“Kami merancang mengadakan pertandingan sama di Stadium Mini Keladi tahun depan.

“Program ini dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan pelajar serta kakitangan maahad tahfiz terutama di kawasan utara tanah air,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 10:25 AM