PEMENANG bergambar bersama Hafiz (tiga dari kanan) selepas majlis penyampaian hadiah.
PEMENANG bergambar bersama Hafiz (tiga dari kanan) selepas majlis penyampaian hadiah.

Kulim: Madrasah Tahfizul Quran Penanti (MTAQP) Pulau Pinang membawa pulang tiga piala Program Ziarah Mahabbah dan Pertandingan Bola Sepak Madrasah Tahfiz Zon Utara Kali-3 di Stadium Mini Keladi Kulim, baru-baru ini.

MTAQP muncul juara kategori bawah 19 (B-19) dan bawah 15 (B-15) selain naib juara kategori terbuka.

Kejohanan itu disertai 40 pasukan madrasah tahfiz kawasan utara membabitkan Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak Utara.

Bagi kategori B-19, MTAQP muncul juara selepas mengalahkan Madrasah Tahfiz Mahmudiah, Serdang, dekat sini, melalui penentuan sepakan penalti 4-2.

Pasukan B-15, MTAQP turut mempamerkan aksi cemerlang apabila menang 1-0 ke atas Pusat Kecemerlangan As Asyafie, Tasek Gelugor, Pulau Pinang di final.

Bagaimanapun, pertandingan kategori terbuka menyaksikan MTAQP hanya mampu muncul naib juara selepas kalah 3-4 di tangan Maahad Tahfiz Selarong Panjang, Kulim.

Pertandingan anjuran MTAQP dengan kerjasama Madrasah Ashraful Madaris Keladi.

Pengerusi pertandingan Hafiz Maarof berkata, kejohanan kali ini mendapat sambutan menggalakkan apabila 40 pasukan mengesahkan penyertaan masing-masing.

“Program ini dapat mengeratkan silaturahim di kalangan pelajar dan kakitangan maahad tahfiz kawasan utara dan aktiviti ini akan kami teruskan pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:09 AM