Alfa Romeo Sauber akan berada dalam kancah F1 musim depan. FOTO Skysports/LAT Italia Photography
Alfa Romeo Sauber akan berada dalam kancah F1 musim depan. FOTO Skysports/LAT Italia Photography
HM Digital/Formula 1.com

ALFA Romeo kembali bertarung dalam kancah Formula Satu (F1) musim 2018 buat kali pertama sejak 30 tahun lalu.

Pengeluar kenderaan dari Itali itu membentuk gandingan bersama pasukan baru Sauber membabitkan kerjasama teknikal selama beberapa tahun.

Kerjasama komersil dan teknikal terbabit menyaksikan pasukan itu berlumba dengan menggunakan nama pasukan Alfa Romeo Sauber.

Pasukan akan memaparkan logo Alfa Romeo dengan kuasa pecutan enjin Ferrari terbaru versi 2018.

Pengerusi Sauber Holding AG, Pascal Picci, berkata: “Kami terharu dan mengalu alukan kedatangan Alfa Romeo kepada Pasukan F1 Sauber”.

Alfa Romeo berlumba dalam F1 bermula 1950 sehingga 1988 selaku pengeluar dan pembekal enjin.

Mereka memenangi kejuaraan pemandu dunia pada 1950 dan 1951 menerusi Nino Farina dan Juan Manuel Fangio.

Alfa Romeo mendominasi Kejuaraan Dunia F1 apabila marque Itali itu mencatat kejayaan 1-2-3 pada perlumbaan pertama di litar Silverstone, England sebelum gandingan Farina dan Manuel Fangio terus menguasai saingan litar.

Berpangkalan di Milan, mereka turut menjadi pembekal enjin pada 1961 sehingga 1979 sebelum tampil selaku pasukan jentera kilang pada 1979 hingga 1985.

Sauber bergelut sepanjang 2017 dan menamatkan saingan di tempat terakhir dalam kategori kejuaraan pengeluar, hanya mengutip lima mata dengan semuanya diraih oleh pemandu Jerman, Pascal Wehrlein.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 4:46 PM