NORSIAH menyampaikan lagu ghazal dengan cara tersendiri.
NORSIAH menyampaikan lagu ghazal dengan cara tersendiri.
Ridzuan Abdul Rahman


Bagai sirih pulang ke gagang. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kemeriahan persembahan ghazal yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 7 dan 8 April lalu.

Program anjuran bersama Kerajaan Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor dan Pejabat Daerah Muar itu adalah program Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) yang mengangkat martabat seni muzik ghazal supaya terus dipelihara dan diminati oleh pelbagai peringkat umur.

Muar sendiri sememangnya popular dengan muzik ghazal dan melahirkan ramai penyanyi nama besar antaranya Ramlah Ram, Norsiah dan Kumpulan Ghazal Sri Saujana Muar. Penganjuran Ghazal@Muar adalah langkah terbaik bagi memastikan genre itu terus dipelihara dan dipulihara kepada generasi masa kini.

Ramlah yang membesar dalam lingkungan muzik ghazal menampilkan kelainan apabila menyanyikan lagu popularnya seperti Diam-Diam Jatuh Cinta, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Air Mata Hati dalam genre ghazal.

Peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya di laman sendiri, bertepuk tangan tanda terhibur dengan nyanyiannya. Bahkan, ada di antara mereka tanpa diminta turut sama menyanyikan lagu itu bersama Ramlah.

Persembahan turut dimantapkan dengan penampilan Mohd Rozaidy Shukry atau Roger Kajol (Dangdut Star), Abdul Rahman Kamaruddin (juara Bintang Asli Johor) dan beberapa artis lain.

Selain persembahan kesenian ghazal, variasi pelbagai jenis makanan, aktiviti seni, pameran dan jualan produk masyarakat setempat turut diadakan sempena program Ghazal@Muar ini.

Aktiviti lain yang turut diadakan ialah pameran agensi kerajaan persekutuan, negeri dan swasta, karok suka-suka, permainan tradisional, demonstrasi, pelbagai pertandingan rakyat, sudut interaktif seni budaya, jualan, borak teater bersama Tokoh Seni Budaya Negeri Johor, kenduri rakyat dan gotong royong komuniti.

Muar, yang juga dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja, turut popular dengan mi bandung, menerima kehadiran ramai pelancong setempat dan luar sepanjang program itu berlangsung.

Sedikit info, ghazal adalah kesenian tradisional masyarakat Melayu yang cukup sinonim dengan Johor. Terdapat banyak maksud ghazal salah satunya dalam bahasa Turki, ghazal diambil daripada perkataan ‘gazel’ yang bermaksud puisi manakala bahasa Arab, ghazal membawa maksud ‘berbicara dengan wanita’ dan perkataan ghazal juga dipanggil ‘gamat’ yang membawa maksud riuh atau muzik rancak.

Antara lagu yang sering dimainkan adalah seperti Sri Mersing, Siti Payung, Patah Hati dan Seri Banang. Alatan muzik yang digunakan adalah seperti peri harmonium, tabela/tabla, violin, gambus, gitar, tamborin dan marakas. Pak Lomak dianggap Bapa Ghazal Melayu Johor kerana usahanya yang menterjemahkan atau menyesuaikan lagu ghazal daripada bahasa Urdu ke bahasa Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 1:44 AM