KOH turut mempunyai single iaitu Ada Denganku dan pernah menyanyikan lagu raya, Se-Malaysia Beraya.
KOH turut mempunyai single iaitu Ada Denganku dan pernah menyanyikan lagu raya, Se-Malaysia Beraya.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Semenyih: "Sejak kecil saya suka dengar lagu Melayu kerana seni suara Melayu boleh mengeratkan perpaduan masyarakat, sekali gus membantu kaum lain fasih penggunaan bahasa kebangsaan."

Itu reaksi Koh Kim Loong, 47, mengenai minatnya menyanyikan lagu Melayu yang dikongsikan di akaun media sosial seperti TikTok dan YouTube, malah mengakui amat mencintai bahasa Melayu.

Pemandu e-hailing itu berkata, seni budaya dan muzik terutama lagu Melayu boleh memupuk semangat perpaduan dan penyatuan masyarakat berbilang kaum di negara ini, sekali gus menguasainya.

Menurutnya, dia yang bersekolah aliran kebangsaan mampu berbahasa Melayu dengan baik, malah mengakui minat menyanyi lagu Melayu juga membantunya membaiki kemahiran bertutur.

"Saya suka menyanyi seperti emak, ayah dan adik (Koh Kim Foong). Sejak kecil saya suka dengar lagu Melayu terutama era 1980 hingga 1990-an kerana bait liriknya ada maksud mendalam, tersirat dan 'jiwa' serta 'roh' tersendiri.

"Saya suka lagu Fatwa Pujangga, Bahtera Merdeka (nyanyian Aishah), Seniman Menangis, Seroja, Ghazal Asmara, Rayuan Maut dan Azura nyanyian Jamal Abdillah serta Cinta Kristal (Rahim Maarof)," katanya.

Katanya, dia juga suka menghiburkan penumpangnya supaya tidak bosan dan bersyukur apabila penumpang gembira serta menerima nyanyianya dengan baik.

"Saya juga gembira dan terharu dengan sokongan netizen di TikTok serta berterima kasih kerana sentiasa menyokong saya walaupun ada bakat lain yang lebih hebat berbanding saya," katanya yang turut mempunyai single iaitu Ada Denganku dan pernah menyanyikan lagu raya, Se Malaysia Beraya.

Menurut Koh, sebagai rakyat Malaysia, semua rakyat pelbagai bangsa perlu mampu bercakap dalam bahasa kebangsaan dengan baik.

"Bahasa jiwa bangsa dan bahasa Melayu adalah jiwa bangsa Malaysia. Jadi wajarlah kita sebagai rakyat negara ini fasih bertutur dalam bahasa itu biarpun berbeza kaum dan agama.

"Semoga bahasa Melayu dan seni suara Melayu mengeratkan perpaduan masyarakat dan saya berharap (perkongsian video nyanyian lagu Melayu) dapat memberi sedikit sumbangan ke arah memupuk perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

"Sebagai orang Cina, saya sayangkan bahasa nenek moyang dan tetap berkomunikasi menggunakan bahasa Kantonis tetapi dalam masa sama sebagai rakyat Malaysia, saya juga sayangkan bahasa kebangsaan," katanya yang aktif menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:01 AM